Monday, December 8, 2014

DAP Sudah Bersedia Harungi PRU14 Tanpa PAS Dalam Pakatan Rakyat

"Bukan lagi rahsia bahawa Pakatan tidak berjalan dengan baik, dan ini sebabnya kenapa Majlis Presiden Pakatan tidak dapat bermesyuarat lebih enam bulan untuk memastikan kerangka dasar bersama dan prinsip disepakati...." - Lim Kit Siang
Baik tindakan demi tindakan mahu pun kenyataan demi kenyataan dari DAP kebelakangan ini, menunjukkan persediaan psikologi yang amat kuat dalam mengharungi PRU14, meskipun tanpa penglibatan PAS dalam Pakatan Rakyat.

DAP Sarawak misalnya, mengambil pendirian membekukan hubungannya dengan Pakatan Rakyat, malahan berterus terang mahukan PAS melakukan reformasi kepemimpinan, dengan amaran kepada ahli-ahli PAS supaya membuang barisan pemimpin ulamak dalam parti berkenaan.

Kemudian DAP Selangor meneruskan 'acahan' terhadap PAS, dengan mencabar pencalonan Adun PAS dalam pemilihan Timbalan Speaker DUN Selangor, dengan membelakangkan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat.

Insiden yang berlaku di DUN Selangor adalah cerminan utama kepada hasrat sebenar DAP yang mahukan PAS secara sukarela dari Pakatan Rakyat

Petikan kenyataan Lim Kit Siang di atas, adalah bertitik tolak dari dakwaan DAP terhadap kegagalan Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan untuk sekian lama. Namun begitu, Lim yakin bahawa DAP dan PKR sudah memadai dalam memperkukuhkan gabungan politik berkenaan.

Hakikatnya DAP menyedari bahawa menyingkirkan PAS dari Pakatan Rakyat bukanlah tindakan terbaik, sebaliknya jika PAS memilih keluar secara sukarela, maka impaknya adalah lebih besar, khususnya dalam penyisihan kelompok ulamak dalam kepimpinan parti berkenaan.

Perlu diakui bahawa untuk tempoh ini, DAP dan PKR telah berjaya melumpuhkan idealisme PAS yang berteraskan Islam, sehingga menghilangkan taring mereka untuk tunduk kepada prinsip sosialis dan liberal yang dianuti oleh 2 rakan gabungannya.

Kini fokus terarah kepada Hadi, samada akan memacu PAS sebagai harakah Islam atau memilih untuk melencongkan idealisme untuk setara dengan DAP dan PKR. Jika opsyen kedua yang menjadi pilihan, bermakna sia-sialah perjuangan Islam yang diasaskan kelompok ulama UMNO yang keluar menubuhkan PAS 63 tahun yang lalu.