Saturday, January 15, 2011

Sudah Tiba Masanya PAS Tempelak Khalid Ibrahim

Dalam keadaan sekarang PAS mungkin begitu berhati-hati dalam menangani sesuatu isu demi menjaga hubungan dengan rakan-rakan politiknya (barangkali?). Apabila meletakkan PAS di titik tengah, seperti yang dikatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi di Harakahdaily, ini bermakna PAS terlalu bergantung kepada isu untuk menyambung talian hayat politiknya.

Sebagai sebuah organisasi yang mengaku sebagai Islam sebagai asas perjuangan, PAS sepatutnya bergerak atas dasar dakwah. Sebaliknya, apa yang terjadi PAS umpama menyorok di sebalik banir “pohon Islam” dan hanya akan keluar apabila orang ramai terkial-kial mencari jalan keluar dari rimbunan hutan kesesatan. Seterusnya, tidak akan menunjukkan jalan keluar yang sepatutnya dan hanya akan menunjukkan arah setelah mengenal pasti kecenderungan arah tujuan orang tersebut, walhal PAS sendiri maklum bahawa ada jalan pintas untuk keluar dari rimba tersebut.

Tidakkah ini bermakna amalan berpolitik sedemikian, selayaknya digelar sebagai politik yang bersifat opportunistik?

PAS seperti juga UMNO, sebuah organisasi yang telah terasas melebihi setengah abad. Ini bermakna, bukan masanya untuk menerap kefahaman, sebaliknya menerap perlaksanaan. PAS yang sekelambu dengan PKR dan DAP atas nama Pakatan Rakyat telah pun mempunyai kuasa di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Jadi dalam soal ini, tidak perlu berpatah balik untuk memberi faham kepada rakan-rakan kerana gerakan ini telah lama terasas. Berpatah balik bermakna kegagalan PAS sendiri.

Bersama rakan-rakan sepakatannya, menuduh UMNO pembuli, bersifat sebagai tuan, rasis dan pelbagai tuduhan lagi yang menjatuhkan maruah batang tubuh UMNO. Hakikatnya, itulah kelebihan UMNO yang suaranya dihormati dan disegani (meskipun mungkin wujud ketidakpuasan hati segelintir ahli komponen BN tetapi sekadar boleh merungut). Sepatutnya dalam hal kepentingan Islam dan Melayu, PAS harus bersama untuk memperkukuhkan suara dan kuasa yang sedia ada dimiliki dan bukannya menyorok dan terhendap dibelakang banir pohon Islam, sambil menunggu ruang dan peluang untuk berkokok umpama ayam ayam jantan yang memberitahu tuannya yang hari sudah hampir siang!

Menyentuh isu larangan pekerja Islam di MPSJ, sepatutnya Nasrudin mengajukan soalan kepada Khalid Ibrahim dan bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan berikut,

“Demikianlah isu pekerja muslim di premis arak. Saya bersetuju dengan cadangan Yb Khalid Samad dari Shah Alam yang menegaskan agar terlebih dahulu kerajaan yang berkuasa mewujudkan peluang pekerjaan halal untuk memindahkan pekerja dari premis haram ke premis halal tanpa perlu mencetuskan polemik [ kecuali kepada mereka yang sengaja engkar selepas daripada itu ], namun tindakan mempertegaskan hukum dan meletakkan syarat yang menepati hukum syara' sebagaimana yang dipertegaskan oleh pihak MPSJ dan Yb Dato' Hassan Ali juga wajar disokong penuh agar ummat Islam menginsafi bahawa premis haram tidak layak untuk mereka mencari rezeki”.

Sila ajukan persoalan kepada MB Selangor itu berhubung perlaksanaan Skim Latihan Pekerja Mahir, yang diumumkan diawal pentadbirannya sebagai MB. Dibawah ialah janjikan Khalid Ibrahim untuk renungan bersama:-

“Salah satu yang perlu saya lakukan ialah menyelesaikan masalah pengangguran belia yang berumur 21 hingga 35 tahun.

Saya tidak nampak mengapa belia yang duduk di negeri Selangor tidak boleh mendapat pekerjaan. Ini kerana negeri Selangor mempunyai lebih 1.5 juta orang dari luar negara datang bekerja di Selangor.

Satu daripada objektif kita pada jangka panjang ialah mengurangkan pergantungan kita dengan pekerja asing. Jadi ia satu jawapan yang mesti kita lakukan, kita mesti kurangkan. Ini bermakna semua belia kita ini mesti dilatih untuk mendapat kemahiran supaya mereka dapat bekerja. Jika mereka mendapat pekerjaan maknanya pekerjaan itu akan dapat mengurangkan beban kita untuk mencari pekerja-pekerja asing.

Walau bagaimanapun strategi kita mesti betul sebab kalau belia hendak jadi buruh kasar maknanya rugilah kita sebab pekerja-pekerja asing sanggup bekerja sebagai buruh kasar dengan gaji yang lebih rendah. Oleh sebab itu, kita mencari latihan-latihan yang sesuai untuk belia-belia kita supaya mereka mendapat kemahiran. Umpamanya sebagai contoh, kalau belia kita dilatih jadi pakar dalam kimpalan, pendapatan mereka adalah pendapatan buruh mahir dan biasanya pada peringkat antarabangsa gajinya melebihi USD2,000 ke USD3,000 sebulan.

Kalau itu berlaku maknanya kita sudah dapat tingkatkan buruh kita. Dengan cara itu kita akan naikkan taraf belia-belia kita walaupun dia tidak lulus dan tidak boleh masuk universiti. Tapi yang universiti hanya 20 peratus, yang 80 peratus yang kita buat.

Kalau itu berhasil maknanya pendapatan per kapita negeri Selangor akan bertambah dan jurang pendapatan antara mereka yang berada dan tidak berada pun dapat dikurangkan.

Jadi saudara akan tanya macam mana kita boleh menyelesaikan. Salah satu cara yang saya nak cadangkan kalau kita ada 1.5 juta pekerja asing yang duduk di negeri Selangor, saya minta setiap majikan bayar saya RM100 setahun dan maknanya RM10 sebulan untuk saya gunakan bagi melatih belia-belia ini sebagai usaha untuk mengurangkan tekanan buruh asing. Saya dapat mengutip RM150 juta setahun. Dari segi skill saya kena ajar. Itu sebab saya kena ada dana untuk mengajar latihan itu semua.

Kalau kita dah ada duit maknanya kita boleh panggil dalam negeri atau luar negeri untuk datang beri pelajaran. Cuba kita perhatikan dia punya konsep sekarang kita kata kita ada masalah dan ini akan menyelesaikan banyak masalah. Kalau ramai belia tak bekerja maknanya harapan untuk masalah sosial lebih tinggi.

Kalau kita dapat kurangkan pendatang haram dan digantikan dengan pekerja-pekerja mahir kita akan dapat menyelesaikan masalah sosial. Jadi kedua-dua projek ini mengatasi masalah belia ini dan menyelesaikan banyak masalah-masalah sampingan.

Kita akan ada beberapa peringkat bila mereka masuk latihan. Kita akan tanya keupayaan dan kemahiran mereka. Jadi kita ada senarai pekerjaan. Ada setengah tu nak jadi pengatur cara, ada setengah tu nak jadi pembawa kapal. Jadi kita sesuaikanlah.

Biasanya pekerjaan-pekerjaan ini lebih daripada buruh kasar. Jadi kita aturkan dia tapi kalau dia dapat pendapatan kurang daripada RM2,000 maknanya kemahiran dia tak diterima. Kalau pekerja mahir dapat kurang dari RM2,000 maknanya ada sesuatu yang tak kena.

Bila semua orang, belia kita dapat gaji RM2,000 atau lebih maknanya dia telah menambah pendapatan per kapita keluarga kita.

Selangor sahaja yang boleh buat projek ini kalau setengah negeri tidak boleh, sebab setengah tu tidak cukup pekerjaan, tidak cukup industri.”

Kenyataan penuh Khalid boleh dirujuk di SINI.

Kenyataan Khalid di atas adalah bertarikh 30 Jun 2008. Adakah Skim Latihan itu memakan masa 5 tahun, sama seperti kursus perubatan? Sudah adakah keluaran produk tenaga mahir tersebut? Atau skim tersebut tidak pernah terlaksana dan masih dalam perancangan?

Dalam hal ini samada Nasrudin mahupun Khalid Samad mesti halakan muncung senapang kepada Khalid Ibrahim. Persoalkan beliau dengan soalan-soalan di atas. Ini bukan masanya untuk berdalih-dalih. Anda semua telah berada dalam pentadbiran negeri, malah mempunyai hak politik dan ada kuasa mempengaruhi keputusan kerajaan negeri. Jika anda sendiri gagal melaksanakan, bermakna anda sebenarnya gagal menyaingi kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh UMNO dan BN!

Siapa Lebih Berpengaruh Di Selangor? : UMNO, PAS Atau PKR

Dengan merujuk kepada Negeri Selangor dan dari sudut populariti dikalangan orang-orang Melayu, saya sebenarnya masih tertanya-tanya, siapa yang lebih kuat, samada UMNO, PKR atau pun PAS?

Persoalan ini menjurus apabila dalam banyak hal kerajaan Pakatan Rakyat menjual nama hak rakyat, dan dakwaan kononnya Kerajaan Selangor adalah kerajaan pilihan rakyat. Misalnya isu air dan isu SUK.

Saya akui bahawa tulisan saya ini bukan dibuat melalui kajian terperinci dan hanya sekadar pemerhatian. Selain dari itu, saya tidak memasukkan sekali DAP dalam perbandingan kerana Pakatan Rakyat hanya wujud selepas pilihanraya. Khusus untuk PRU 12 (2008), gabungan hanya antara PAS dan PKR atas nama Barisan Alternatif berserta dengan manifesto bersama mereka. Ini bermakna fokus gabungan PAS dan PKR hanya di kawasan majoriti Melayu dan kawasan yang berkedudukan antara kaum 50-50.

Mungkin para pembaca artikel ini (khusus pemastautin Selangor) boleh merujuk kepada masyarakat sekeliling di kawasan masing-masing. Cuba anda perhatikan siapa Pengerusi JKKKN, Pengerusi JKKKP, Nazir Masjid dan Barisan AJKnya, YDP PIBG, Pengerusi Belia dan apa juga jawatan-jawatan utama lain didalam komuniti tersebut. Realitinya, kebanyakan masih dipegang oleh orang-orang UMNO.

Kemudian bandingkan pula dari segi penonjolan, penampilan, pengaruh dan populariti. Saya tidak perlu mempengaruhi jawapan anda tetapi hakikatnya bagi pemimpin masyarakat yang pro-UMNOlah yang lebih menonjol. Manakala, pemimpin PAS dan PKR tempatan lebih bersifat inferior. Malah dalam banyak majlis yang melibatkan MB, Khalid Ibrahim sendiri tidak begitu ghairah diburui oleh rakyat jelata untuk bersalaman.

Disamping itu, perhatikan pula mesyuarat agong parti-parti UMNO, PAS dan PKR di peringkat cawangan/ranting, mahupun diperingkat bahagian/cabang/kawasan. Mana yang lebih meriah? Itu belum lagi bilangan cawangan/ranting di bahagian/cabang/kawasan masing. Hakikatnya UMNO masih mendepani dalam hal ini. Dalam hal ini, PAS dan PKR jangan berkecil hati kalau saya katakan bahawa kehadiran Mesyuarat Agung Kawasan/Cabang PAS dan PKR sekadar menyamai kehadiran Mesyuarat Agung Cawangan UMNO.

Berbalik kepada pilihanraya 2008, ia pada dasarnya adalah satu medan bagi ahli-ahli UMNO untuk menghukum kepimpinan UMNO di bahagian masing-masing. Secara tidak langsung hal ini memberi ruang dan peluang kepada kemenangan PAS dan PKR. Harus diingat, kepimpinan UMNO dikebanyakan bahagian telah berubah, selepas pemilihan pada tahun yang sama dan dengan itu dapat mengurangkan persoalan terhadap kepimpinannya.

Dalam keadaan kedudukan kerusi DUN di Selangor untuk UMNO/BN, PAS dan PKR yang masing-masing 23-8-13, bolehkah PAS dan PKR mengekal atau menambah kerusi tersebut? Ditambah dengan isu-isu yang berlaku di Selangor pada hari ini, saya meragui peluang PAS dan PKR akan dapat menambah kerusi, malah tidak mustahil ia akan semakin berkurangan!

Friday, January 14, 2011

Selangor Bakal Diisytihar Darurat?

Semakin menarik perkembangan politik di Selangor. Terbaca di blog Ipoh Malay, bakal berlangsung Perhimpunan Hormati Suara Rakyat Selangor anjuran sebuah grup pendesak yang baru pada 23 Januari 2011.

Kalau Ipoh Malay memberi pandangan seolah-olah grup tersebut pro Khalid Ibrahim, saya hakikatnya berpendapat berlawanan. Perhimpunan ini pada saya, lebih menjurus kepada grand design untuk menurunkan Khalid dari jawatan MB.

Tidakkah bermaksud perhimpunan yang dengan sasaran mengumpul 10,000 kehadiran merupakan satu bentuk provokasi? Kita harus menerima hakikat bahawa kini wujud dua kem yang menyokong dan yang menentang Khusrin.

Saya yakin, kem yang menyokong Khusrin tidak akan berdiam diri. Jika grup pendesak ini masih bertekad untuk meneruskan hasratnya, tidak mustahil grup pro Khusrin pula akan bertindak balas.

Apabila terjadi yang demikian, maka akan berlakulah kekacauan dan rusuhan dan seterusnya memaksa Akta Darurat dikuatkuasakan di Selangor. Saya telah menulis, BN sebenarnya tidak perlu menggunakan Khusrin Munawi untuk menumbangkan Kerajaan PR di Selangor, sebaliknya boleh mengambil teladan pentadbiran ‘Ala-Mageran’ melalui penguatkuasaan Akta Darurat Kelantan 1977.

Andainya Akta Darurat dikuatkuasakan di Selangor, ketua pentadbiran negeri akan beralih kepada pegawai yang dilantik oleh Kerajaan Pusat. Maka dengan itu, tidak mustahil pula Kerajaan Pusat melantik Khusrin Munawi sebagai Ketua Pentadbir Negeri Selangor.

Kesimpulannya, perhimpunan tersebut seolah dirancang begitu rapi yang secara sendirinya akan menjatuhkan Khalid Ibrahim disamping sengaja mencabar pentadbiran Najib Razak untuk menguatkuasakan darurat di Selangor. Najib mungkin boleh bersabar, soalnya sekarang, bolehkah pula rakyat bersabar?

Khalid harus berhati-hati dalam perancangan ini. Andai tersilap, marilah bersama-sama kita ucapkan SELAMAT DATANG PENTADBIRAN ALA-MAGERAN SELANGOR!

Isu Interlok : Pemuda PAS Memerangkap, Diperangkap Atau Terperangkap?

Percubaan Dewan Pemuda PAS untuk menjadi juara dalam kemelut isu “Interlok” boleh dianggap gagal. Dalam perjumpaan yang didakwa dihadiri oleh wakil-wakil kumpulan sasterawan/budayawan dan wakil-wakil NGO India hakikatnya telah gagal untuk melerai isu tersebut akibat dari sikap Pemuda PAS sendiri yang masih terumbang-ambing untuk menentukan sama ada “Interlok” harus diterima sebagai buku teks sekolah menengah.

Adalah jelas, Pemuda PAS lebih cenderung untuk mengenal pasti political gains yang bakal diraih oleh mereka bagi pihak Pakatan Rakyat. Akhirnya perjumpaan tersebut sekadar merumuskan bahawa:

1.Kedua-dua pihak sepakat menghormati karya seni hasil penulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

2. Kedua-dua pihak juga khuatir adanya perangkap politik, oleh pihak yang sengaja membangkitkan isu sensitif tersebut.

3. Sebarang aktiviti pembakaran juga adalah ditolak kerana ruang perbincangan sepatutnya diutamakan.”

Kenyataan penuh perjumpaan rujuk DI SINI.

Persoalannya sekarang ialah apakah pendirian Dewan Pemuda PAS, samada menerima atau menolak “Interlok” sebagai buku teks? Sebenarnya, ini bukan soal perangkap politik sebaliknya ini soal pendirian Pemuda PAS sendiri. Jelas sekali, Pemuda PAS masih silu-silu untuk menyokong “Interlok” hanya dek kerana ia dipilih sebagai buku teks oleh Kementerian yang diterajui oleh TS Muhyiddin Yassin dan bukannya melalui NGO-NGO yang pro kepada PAS!

Dalam pada itu, Pemuda PAS boleh juga membaca pandangan, kekecewaan dan rasa meluat terhadap "Interlok" yang telah dipolitikkan di SINI, SINI dan SINI.

Khalid Akan Bubar DUN Selangor Mac 2011?

Mungkin Khalid Ibrahim sedang mencongak-congak untuk membubarkan DUN Selangor. The Star Online melaporkan setiap ADUN PR akan menerima peruntukan RM 1 juta untuk kawasan masing-masing.

Dalam hubungan yang sama, TVS melaporkan yang itu dalah perancangan komprehensif 3 bulan akan datang dalam menentukan pengurusan negeri yang lebih cekap.

Tidak diperincikan pula maksud ‘3 bulan yang akan datang’. Apakah ia bermaksud ADUN mesti menghabiskan peruntukan dalam masa 3 bulan? Kalau demikian, sia-sialah soal siasat SELCAT yang meragui peruntukan langsainya RM500 ribu dalam tempoh 3 bulan yang dilakukan oleh ADUN-ADUN BN sebelum PRU yang lalu.

Dalam hal yang lain, pada bulan yang lalu seorang sahabat saya, telah pergi ke sebuah pejabat Penyelaras DUN PR berhubung dengan khairat bantuan warga emas. Sahabat saya dimaklumkan oleh petugas pejabat Penyelaras DUN tersebut, bahawa pendaftaran warga emas akan berakhir pada bulan Mac 2011.

Apakah makna semua ini? Peruntukan RM1 juta diberi kepada ADUN PR untuk kawasan masing-masing dan pada masa yang sama pendaftaran khairat bantuan warga emas pula akan berakhir pada Mac 2011. Adakah ini bermakna Khalid Ibrahim bakal membubarkan DUN Selangor dalam tempoh tersebut?

Thursday, January 13, 2011

Anwar Ibrahim Berjaya Jadikan Hadi Awang 'Pak Angguk'

PAS harus dirujuk kepada psikiatris. PAS tidak gila, cuma hilang keyakinan diri. Semakin hari, semakin menjadi-jadi untuk bersikap mengangguk walau pun rakannya salah.

Sebagai seorang pakar motivasi, Dato’ Dr Hasan Ali tetap punya keyakinan diri. Itu sebab dia masih berani bercakap. Tak kiralah, samada cakap depan atau pun cakap belakang.

Atas semangat setiakawan politik dan bukannya atas sebab kebenaran Hasan Ali telah diberi peringatan oleh pucuk pimpinan PAS.

Haji Hadi pun sudah pandai berkata dan lebih pentingkan politik dari dakwah,

“Kepada siapa sahaja rakan kita yang disentuh samada PAS, PKR dan DAP, kita akan bersama dalam hadapi segala cabaran. Pakatan Rakyat makin hari makin kuat. Ini kenyataan terbuka yang kita nyatakan secara praktikal pada malam ini,"

Yang nyata Anwar Ibrahim telah berjaya menjadikan seluruh kepimpinan PAS sebagai ‘Pak Angguk’ belaka!

Tak Perlu Guna Khusrin, BN Boleh Guna Akta Darurat Untuk Tumbangkan Khalid Ibrahim

BODOH, BINGAI, KELABU ASAP! Mungkin itu perkataan yang paling sesuai digunakan keatas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya MB Selangor, TS Khalid Ibrahim.

Mencetuskan perlantikan Dato’ Mohammed Khusrin Munawi SUK Negeri Selangor sebagai alasan untuk PR menuduh bahawa BN sedang merancang untuk menumbangkan Kerajaan PR di Selangor. Rata-rata, para penjuak PR hanya menjadikan Perak sebagai rujukan dengan beranggapan, perlantikan Khusrin harus ditolak agar tidak dipatuk ular dari lubang yang sama.

Kalau BN beria-ia hendak merampas kuasa di Selangor, rasanya modus-operandi di Kelantan pada tahun 1977 boleh dijadikan teladan.

Oleh kerana kebanyakan penyokong PR terlepas pandang kepada ‘pemerintahan ala-mageran’ di Kelantan, sila rujuk ucapan penuh YDPA PAS, Dato’ Asri Muda semasa Mesyuarat Agung Khas PAS 25 Disember 1977 DI SINI.

Secara ringkas, ‘pemerintahan ala-mageran’ telah dikuatkuasakan ekoran tunjuk perasaan dan rusuhan rakyat Kelantan yang tidak berpuas hati diatas pemecatan MB Kelantan ketika itu, Dato’ Mohammad Nasir melalui undi tidak percaya di DUN Kelantan. Oleh itu, Dewan Rakyat telah meluluskan penguatkuasaan Akta Darurat Kelantan pada 6 November 1977.

Perlu diingatkan kepada para pemimpin dan penyokong PR, fakta-fakta berikut harus diperhalusi andainya BN hendak bermain kotor di Selangor:-

1. Kerajaan PAS Kelantan tumbang selepas Sidang DUN memecat MB

BN boleh menerbitkan provokasi, kekacauan dan rusuhan rakyat bagi membolehkan pengisytiharan darurat di Negeri Selangor dengan mengambil kesempatan daripada Sidang Khas DUN yang bertujuan meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor pada 24 Januari 2011.

2. Pertalian pemimpin BN hari ini dengan watak-watak utama menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan 1977

- Darurat di Kelantan dikuatkuasakan oleh PM pada masa itu, Tun Hussein Onn dan dalam keadaan hari ini, anaknya DS Hishamuddin Tun Hussein menjadi Menteri Dalam Negeri.

- PM hari ini, Dato' Seri Najib telah pun duduk sebagai anggota Dewan Rakyat dan juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO ketika itu.

- Tunjuk perasaan rakyat Kelantan 1977 digerakkan oleh pemimpin pelajar pada masa itu, Ibrahim Ali. Hari ini, beliau merupakan Presiden Perkasa malah telah kembali sihat setelah menjalani rawatan di hospital.

Kesimpulannya, janganlah PR membuang masa ke sana sini menembak Khusrin, mantan SUK dan KSN kerana BN adalah lagi satu senjata untuk tumbangkan mereka di Selangor. Itu pun, kalau mereka mahu!