Wednesday, June 4, 2008

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Dimanakah Rasionalnya?

Apabila kabinet baru PRU12 ditubuhkan, YB Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan di negeri-negeri dibawah pentadbiran PR. Secara peribadi, saya berpandangan bahawa hal ini lebih menjurus kepada matlamat politik berbanding matlamat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Saya yakin hal ini akan lebih menimbulkan kecelaruan dan mendorong kepada sikap berpuak-puak di dalam sesebuah kampung. Walhal, berbeza dengan keadaan di bandar, masyarakat kampung lebih terdedah dengan semangat kemasyarakatan yang tinggi yang selaras dengan konsep berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Sanggupkah kita melihat perkara-perkara ini kita korbankan hanya kerana perbezaan politik? Lumrah bagi masyarakat di luar bandar untuk menziarah jiran-jiran bila sakit atau kematian, bergotong royong memperindahkan kampung dan tolong-menolong dalam kenduri kendara.

Namun begitu saya, saya memahami hasrat kerajaan Persekutuan agar segala bentuk peruntukan dan bantuan dapat disalurkan secara langsung kepada rakyat. Bagi tujuan tersebut, saya berpendapat adalah lebih molek sekiranya dilantik seorang 'Penolong Pegawai Pembangunan Mukim' yang berfungsi dan berperanan seperti Penghulu/Penggawa yang dilantik oleh kerajaan Negeri. Justeru, persaingan yang akan timbul hanya akan melibatkan individu-individu yang mewakili majikan masing-masing. Berbanding persaingan JKKK dengan JKKP, maka akan wujudlah persaingan institusi dan mendorong kepada perpecahan dan kecelaruan dalam masyarakat sesebuah kampung. Akhirnya keharmonian dan kesejahteraan akan terkorban, menang jadi abu dan kalah jadi arang!

P/s Oleh kerana entry ini sering dikunjungi saya syorkan untuk membaca isu yang berkaitan di S I N I.

Tuesday, June 3, 2008

Ketuanan Melayu atau Pembelaan Melayu?

Mungkin terlewat bagi saya untuk turut serta dalam membicarakan topik Ketuanan Melayu, namun sekurang-kurangnya melalui tulisan ini, suatu ukuran pertimbangan akan dapat dibuat dalam konteks penentuan samada konsep ini masih relevan dalam suasana politik terkini.

Pasca PRU12, beberapa pemimpin parti komponen BN telah mencadangkan supaya disemak semula konsep parti yang berasaskan kaum. Malah PR juga telah meletakkan bahawa tidak ada parti yang dominan dalam perkongsian kuasa yang mereka gariskan. Oleh yang demikian, kaedah ini juga telah berjaya menimbulkan provokasi kepada semua pihak, tidak kira kepada parti-parti politik yang wujud di negara ini, malahan jua mendorong rakyat, khususnya yang bukan Melayu untuk mempersoalkan Ketuanan Melayu. Natijah daripada itu, UMNO telah semakin dibenci dan menjadi sasaran sebagai sebuah parti yang bersifat perkauman.

Saya secara peribadi, apabila bermulanya krisis Melayu moden (pertembungan UMNO Baru dan Semangat 46) telah meletakkan diri saya sebagai individu Melayu minoriti di negara Malaysia ini. Saya telah menyerapkan sifat-sifat berdikari dari terlalu bergantung kepada kerajaan untuk membangunkan keluarga dalam tujuan bersaing dalam negara yang bersifat masyarakat majmuk ini. Apabila lahir anak saya yang pertama pada tahun 1990, saya mula membeli polisi insurans sebagai persiapan untuk program pendidikannya. Bukan itu sahaja, kesemua 5 orang anak saya telah dibekalkan dengan tabungan yang serupa agar merka tidak berhutang dengan mana-mana pihak untuk belajar di IPT dan tidak terbeban dengan hutang apabila mula bekerja kelak.

Tidak dapat dinafikan, melalui Dasar Ekonomi Baru telah melahirkan masyarakat peniaga Melayu dan disediakan pula segala input dan output untuk merapatkan jurang ekonomi antara bangsa Melayu dengan bukan Melayu. Namun, bagi diri saya yang terjun dalam bidang perniagaan pada tahun 1993 malahan sehingga hari ini, tidak turut serta untuk menjamah kek ekonomi yang disediakan oleh kerajaan. Sebaliknya, tumpuan saya lebih tertumpu kepada organisasi swasta.

Dalam keadaan saya yang sebegini, saya sepatutnya menjadi seorang individu yang tidak menghiraukan tentang konsep Ketuanan Melayu. Buat apa membicarakan konsep itu, kalau perut lapar. Malah sebagai cakap negatifnya, buat apa berbincang hal Ketuanan Melayu kerana yang untung ialah mereka dan keluarga mereka, sementara dipihak kita, apa yang dapat?

Namun begitu, sekiranya Ketuanan Melayu sudah tidak relevan, bagaimana pula dengan Pembelaan Melayu? Berdasarkan fikiran yang rasional dan sementelah pula darah yang mengalir dibadan saya adalah darah Melayu, saya berpendapat agenda Pembelaan Melayu harus diteruskan. Dalam perjuangan kita ini, bukannya bertujuan kita patut merampas milik sahabat kita yang bukan Melayu tetapi memberi peluang kepada saudara kita yang berbangsaMelayu untuk membebaskan diri dari terhimpit dengan kesempitan hidup. Golongan ini harus diberi ruang dan peluang bukan sahaja untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
dengan masyarakat Malaysia yang lain.

Semalam, JPA telah mengiklankan biasiswanya (tambahan). Mungkin ini didorong oleh rungutan sesetengah pihak yang tidak berjaya dalam permohonan mereka. Dalam pada itu, saya menaruh harapan yang tinggi kepada JPA supaya dapat berlaku adil. Memang diakui bahawa agak sukar untuk berlaku adil dan memuaskan semua pihak. Akan tetapi jangan hanya kerana desakan-desakan ini hingga kita terlupa kepada kepada mereka yang berasal dari luar bandar dan bersekolah pula di tempat mereka sendiri. Hakikatnya, dengan segala kedaifan dan kekurangan mereka berusaha meski pun secara relatifnya tidak sebaik mereka yang berasal dari bandar. Secara perbandingan, tidak adilkah bagi JPA memberi peluang kepada pelajar luar bandar yang mendapat 7A3B dan menafikan hak pelajar bandar yang mendapat 10A? Kalau kita menyatakan sebagai tidak adil maka secara tidak langsung pelajar luar bandar ini telah dizalimi. Akibatnya, yang maju terus maju dan yang mundur terus mundur akhirnya.

Sebagai kesimpulan, selagi bangsa Melayu masih berada dibaris belakang, selagi itulah Agenda Melayu harus diteruskan. Tidak kira samada ia agenda utama atau agenda sampingan; dan samada penggunaan istilah Ketuanan Melayu mahupun Pembelaan Melayu, gerakan secara holistiks harus diambil untuk membebaskan bangsa Melayu dari kejahilan. Justeru marilah kita bersatu, bukan UNTUK MEREKA DAN KELUARGA MEREKA tetapi untuk membentuk bangsa Melayu yang berilmu pengetahuan, berdaya saing dalam ekonomi dan berakhlak mengikut acuan Islam yang sejati. Terpulang kepada anda semua untuk menyahut seruan ini kerana bagi saya, telah hampir 2 dekad saya menganggap diri saya hidup dibawah MALAYSIAN MALAYSIA!

Tuesday, May 27, 2008

Neo-Feudal Dalam UMNO

Sebenarnya, adalah menjadi hasrat saya ingin menulis mengenai Neo-Feudal di dalam UMNO dan secara kebetulan, hari ini YB Dato' Sharir Samad menyentuh tentang amalan feudal yang semakin menebal di dalam UMNO (Sila rujuk http://www.agendadaily.com). Pada beliau, sindrom ini membuatkan ahli-ahli UMNO takut bersuara dan seterus menghakis keyakinan rakyat untuk menyokong dan menyertai UMNO.

Namun begitu saya lebih suka menggunakan istilah Neo-Feudal dan akan berhujah dari perspektif yang berlainan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ciri-ciri feudal terdapat di dalam UMNO. Tanpa menafikan wujud ciri-ciri tersebut di peringkat nasional dan negeri, tetapi tulisan saya ini khusus memberi fokus di peringkat cawangan dan bahagian.

Ciri utama yang berlaku ialah penguasaan yang begitu dominan oleh Ketua terhadap jawatan-jawatan utama dan sayap-sayap parti. Misalnya Ketua Cawangan yang menyusun anak, isteri adik-beradik, saudara mara dalam jawatan utama dan ahli-ahli yang tidak mempunyai pertalian lebih berfungsi sebagai pengikut. Kecenderungan ini, pada hemat saya berlaku apabila berlaku berbezaan pendapat dengan penyandang-penyandang jawatan yang sebelumnya dan seterusnya menganggap bahawa hal itu akan menggugat kedudukannya. Justeru, berlakulah proses memancung dan sebagai ganti, mereka yang mempunyai pertalian diletakkan di jawatan-jawatan utama bagi memastikan kedudukan ketua tidak terancam.

Adalah menjadi lumrah pada hari ini, kelayakan seseorang itu untuk memimpin UMNO haruslah mempunyai kemampuan wang ringgit. Kekayaan menjadi tanda aras melayakkan seseorang itu untuk menjawat jawatan tinggi di dalam parti. Tanpa wang, kita sebagai ahli bawahan akan dihadiahkan 'cermin' untuk mencermin diri kita sebelum menawarkan diri untuk jawatan-jawatan utama. Dengan keadaan yang sedemikian ini, maka seolah-olah cawangan mahupun bahagian telah menjadi cartel dan syarikat sendirian berhad. Seterus ahli-ahli cartel dan pemegang-pemegang saham syarikat sendirian berhad inilah yang akan menguasai dan mewarnai parti.

Lebih memparahkan lagi ialah bila timbul kecenderungan untuk melahirkan seramai mungkin pengikut dan pada masa yang sama, tiada sebarang usaha yang diambilkan untuk melahirkan pemimpin pelapis. Proses tekanan dan kekangan diambil supaya tidak ada tunas-tunas baru tumbuh dan seterusnya menjadikan parti sebuah organisasi yang berfikir didalam kotak yang mereka bina sendiri, tanpa menghasilkan idea-idea yang baru.

Sekiranya tiada sebarang usaha diambil untuk memperbetulkan keadaan ini maka mereka yang berkelayakan dari segi pemikiran, pentadbiran dan pengurusan serta akademik akan terus tersisih. Dari sudut psikologinya juga, perasaan rendah diri dikalangan akan semakin menebal. Apabila UMNO sudah di pandang sebagai organisasi feudal, maka tidak hairan satu lagi revolusi akan berlaku akibat dari kekecewaan golongan marhaen. Saya percaya sekiranya ini berlaku, komunisme akan wujud kembali bagi melenyapkan jurang antara kumpulan marhaen dan kumpulan neo-feudal ini.

Sunday, May 11, 2008

INTEGRITI

Merujuk kepada kamus Oxford integrity bermaksud "the quality of being honest and having strong moral principles". Pada hari ini, masyarakat secara umumnya bila bercakap tentang integriti, selain dari maksud yang diungkai oleh kamus tersebut, ialah lebih menjurus kepada masyarakat bebas rasuah.
Sememangnya, adalah menjadi keperluan bagi kita untuk bersifat ikhlas, tulus dan jujur dalam kehidupan yang selaras dengan Islam sebagai pembawa akhlak yang baik. Tanpa integriti maka akan menjurus diri kita kearah sifat menzalimi dan mendorong kepada kemungkaran. Berikut adalah beberapa kes yang berkaitan dengan integriti untuk direnungi:-
Kes 1
Saya pernah berbincang dengan seorang rakan berhubung dengan satu urusan. Kemudian terpacullah perkataan dari beliau yang antara lain menyatakan bahawa tidak dapat dinafikan bahawa negara kita rasuah dalam keadaan yang begitu berleluasa. Cuma yang menutup keadaan tersebut ialah kehidupan majoriti daripada kita adalah selesa, justeru menutup kepincangan yang ada. Sebaliknya, jika dibandingkan dengan suasana kehidupan rakyat negara tetangga kita yang begitu susah, maka amalan tersebut adalah suatu perbuatan hina.
Kes 2
Suatu hari saya berbual dengan seorang kakitangan sebuah organisasi yang kebetulan saya menjadi vendor kepada organisasi tersebut. Beliau masih muda (awal 20an) dan mempunyai pengaruh dalam membuat keputusan di organisasi ia berkerja. Tanpa silu beliau menyatakan, bahawa beliau mempunyai beberapa projek di tangan dan beliau boleh memberi kerja tersebut jika ada pemanis. Malang sekali, insan yang begitu muda pun boleh berkata demikian!
Kes 3
Seorang kenalan yang berjawatan kanan di sebuah organisasi telah difitnah oleh kakitangan bawahannya. Beliau telah dikatakan sebagai meminta komisyen terhadap urusniaga yang dibuat kakitangan jualannya. Aduan telah dibuat ke pihak pengurusan tertinggi dan akibatnya beliau telah diambil tindakan 'gantung kerja' sehingga siasatan dibuat keatasnya. Perkara pokok yang dinyatakan disini ialah bukan soal fitnah atau ingin mempertahankan kenalan saya tetapi sikap ambil berat organisasi tersebut terhadap soal integriti.
Kes 4
Selang seminggu dari peristiwa di atas, saya yang menjadi vendor sebuah organisasi multi nasional telah mendapat borang perisytiharan yang di hantar oleh pengurusan organisasi. Saya telah diminta untuk mengisytiharkan bahawa tidak mempunyai hubungan/kaitan dengan mana-mana kakitangan atau bekas kakitangan organisasi. Rupanya mereka begitu prihatin terhadap integriti.
Kesimpulannya, rasuah dan kronisme seolah-olah telah diterima menjadi suatu budaya dalam masyarakat kita. Hakikatnya, kehidupan kita di dunia adalah untuk membawa akhlak yang baik. Seharusnya untuk menjadi insan dan membentuk masyarakat yang bertamaddun, ketinggian ilmu dan nilai integriti yang sempurna adalah penyumbang kearah itu. Mungkin juga keputusan PRU12, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor integriti.
Dengan mengambil sikap positif, dalam pentadbiran kerajaan pasca PRU12, tanpa mengira BN mahupun PR mereka yang berkuasa akan berusaha kearah pemulihan integriti. Namunbegitu, saya juga ingin menzahirkan rasa terkejut saya, apabila seorang teman apabila diminta standby kerana sahabatnya akan tolong untuk dapatkan projek di sebuah negeri yang telah ditawan oleh PR. Kini saya sedang menunggu episod seterusnya..............

Saturday, May 10, 2008

Bila bercakap tentang akar umbi, tentunya ia tersembunyi di bawah tanah. Apakah dengan mata kasar kita boleh nampak akar? Hakikatnya, yang kita nampak ialah batang yang menjadikan pokok berdiri dan daun-daun yang menjadi penghias kecantikan pokok itu.

Saya adalah sebahagian daripada akar umbi, yang kecil lagi terselindung didalam tanah. Maka berselirat kami para akar-akar untuk membekalkan air dan makanan kepada keseluruhan objek yang bernama pokok. Tanah yang padat menjadikan kami terhimpit tetapi kami amat rapat dan saling tunjang menunjangi untuk menegakkan pokok tersebut.

Bila musim kemarau, makin dalamlah kami menjalar ke perut bumi untuk mencari sumber air. Tanpa menafikan peranan daun, bunga, buah malahan batang tetapi kami yang di dalam tanah tiada siapa pun nampak. Cuma yang mengiktiraf sahaja yang nampak peranan kami. Sebaliknya secara zahir, cuma daun, bunga dan batang yang boleh dipandang.

Secara relatif kepada proses politik, batang ialah tokoh, daun sebagai pengikut yang setiap hari menghurungi tokoh dan bunga umpama agen kepada penghasilan hasrat sang tokoh. Seterusnya akar umbi ialah mereka yang hakikat membekalkan input untuk tokoh terus kekal di persada politiknya.