Monday, December 8, 2014

DAP Sudah Bersedia Harungi PRU14 Tanpa PAS Dalam Pakatan Rakyat

"Bukan lagi rahsia bahawa Pakatan tidak berjalan dengan baik, dan ini sebabnya kenapa Majlis Presiden Pakatan tidak dapat bermesyuarat lebih enam bulan untuk memastikan kerangka dasar bersama dan prinsip disepakati...." - Lim Kit Siang
Baik tindakan demi tindakan mahu pun kenyataan demi kenyataan dari DAP kebelakangan ini, menunjukkan persediaan psikologi yang amat kuat dalam mengharungi PRU14, meskipun tanpa penglibatan PAS dalam Pakatan Rakyat.

DAP Sarawak misalnya, mengambil pendirian membekukan hubungannya dengan Pakatan Rakyat, malahan berterus terang mahukan PAS melakukan reformasi kepemimpinan, dengan amaran kepada ahli-ahli PAS supaya membuang barisan pemimpin ulamak dalam parti berkenaan.

Kemudian DAP Selangor meneruskan 'acahan' terhadap PAS, dengan mencabar pencalonan Adun PAS dalam pemilihan Timbalan Speaker DUN Selangor, dengan membelakangkan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat.

Insiden yang berlaku di DUN Selangor adalah cerminan utama kepada hasrat sebenar DAP yang mahukan PAS secara sukarela dari Pakatan Rakyat

Petikan kenyataan Lim Kit Siang di atas, adalah bertitik tolak dari dakwaan DAP terhadap kegagalan Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan untuk sekian lama. Namun begitu, Lim yakin bahawa DAP dan PKR sudah memadai dalam memperkukuhkan gabungan politik berkenaan.

Hakikatnya DAP menyedari bahawa menyingkirkan PAS dari Pakatan Rakyat bukanlah tindakan terbaik, sebaliknya jika PAS memilih keluar secara sukarela, maka impaknya adalah lebih besar, khususnya dalam penyisihan kelompok ulamak dalam kepimpinan parti berkenaan.

Perlu diakui bahawa untuk tempoh ini, DAP dan PKR telah berjaya melumpuhkan idealisme PAS yang berteraskan Islam, sehingga menghilangkan taring mereka untuk tunduk kepada prinsip sosialis dan liberal yang dianuti oleh 2 rakan gabungannya.

Kini fokus terarah kepada Hadi, samada akan memacu PAS sebagai harakah Islam atau memilih untuk melencongkan idealisme untuk setara dengan DAP dan PKR. Jika opsyen kedua yang menjadi pilihan, bermakna sia-sialah perjuangan Islam yang diasaskan kelompok ulama UMNO yang keluar menubuhkan PAS 63 tahun yang lalu.

Wednesday, December 3, 2014

Skandal RM2.6 Juta - Khalid Ibrahim Akan Tambah Bilangan MB Selangor Dihukum Penjara?


Dato' Harun Idris pernah dihukum penjara.

Malah Dr Khir Toyo juga telah dijatuhi hukuman penjara, cuma sedang melakukan proses rayuan untuk mengenepikan hukuman tersebut.

Apakah TS Khalid Ibrahim juga akan menerima nasib yang sama seperti bekas-bekas MB tersebut?

Menurut laporan portal The Malaysian Insider, panel penyiasat skandal pampasan RM2.6 juta oleh MBI kepada 8 pembantu bekas Menteri Besar Khalid Ibrahim, melalui laporan setebal 11 muka surat menyimpulkan bahawa pembayaran pampasan tersebut dilakukan tidak mengikut terma dan syarat perkhidmatan surat tawaran pelantikan.

Khalid turut dilaporkan tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah MBI sebelum meluluskan pembayaran kepada 8 yang terlibat, termasuk orang kuatnya Faekah Husin.

Antara lain, portal berkenaan melaporkan;
"Ahli lembaga pengarah MBI tidak termasuk pengerusi MBI (Khalid) pada bila-bila masa selepas 25 Ogos 2014, tidak pernah memberi persetujuan secara muktamad bagi pelaksanaan yang sudah dibuat kepada 8 kakitangan yang terlibat seperti diputuskan oleh pengerusi MBI pada 22 September 2014," kata laporan itu. 
Daripada laporan itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Faekah Husin menerima bayaran tertinggi RM581,400 sebagai pampasan dan RM114,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan. 
Bagaimanapun, laporan tersebut mendedahkan pembayaran kepada bekas setiausaha politik Khalid itu tidak mengikut perkiraan yang telus kerana tempoh Faekah berkhidmat dengan MBI hanya selama 12 bulan dan bukannya 51 bulan."Semakan mendapati CEO MBI Faekah Husin mula berkhidmat pada 1 September 2013. 
"Sebelum itu beliau adalah setiausaha politik kepada Datuk Menteri Besar Selangor mulai Julai 2010 dan gaji beliau dibayar kerajaan negeri Selangor di bawah VOTB01 – Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjumlah RM5,190 (gaji pokok). Justeru, jumlah bulan berkhidmat dengan MBI adalah selama 12 bulan 23 hari dan bukannya 51 bulan," kata laporan itu.Jumlah pampasan yang sepatutnya diterima Faekah sepanjang berkhidmat dengan MBI sepatutnya RM136,800 jika 30% daripada gaji pokok RM38,000 didarabkan dengan 12 bulan. 
Seorang lagi pembantu Khalid, Mustapha Mohd Talib juga menerima jumlah pampasan yang tidak mengikut perkiraan tepat kerana jumlah bulan beliau berkhidmat dengan MBI adalah 53 bulan 23 hari dan bukannya 78 bulan.
Jika MB Besar Selangor Azmin Ali benar-benar serius dalam mempertahankan integriti pentadbiran negeri Selangor, maka tindakan sewajarnya mesti diambil untuk membawa Khalid ke muka pengadilan.

Monday, December 1, 2014

Akhirnya Lim Guan Eng Mengaku Seronok Dapat Mengenakan Hadi Awang!


Setia Usaha Agung DAP Lim Guan Eng akhirnya mengakui penglibatannya dalam percubaannya untuk menafikan Adun PAS Bangi dari terlantik sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor, dengan pengakuannya yang tersiar di portal rasmi parti berkenaan, The Rocket.

Lim dengan angkuh menyatakan akan menentang usaha-usaha PAS untuk menguatkuasakan hukum hudud dan menyifatkan langkah meletakkan calon DAP untuk bersaing untuk jawatan Timbalan Speaker itu disamping calon PAS, adalah isyarat supaya PAS berhenti dalam mendaulahkan syariat Islam di Malaysia.

Berasaskan kenyataan Guan Eng di atas, jelas menunjukkan bahawa DAP tidak akan berhenti setakat itu.

Tidak mustahil selepas ini, 2 anggota Exco PAS dalam rejim sementara TS Khalid Ibrahim akan disabitkan bersubahat dengan bekas MB Selangor itu, dalam isu pembayaran pampasan RM2.6 juta kepada pembantu-pembantu Khalid yang menggunakan dana Menteri Besar Incorparated.

Pada hakikatnya Lim Guan Eng mahu PAS keluar secara sukarela dari Pakatan Rakyat kerana DAP merasakan diri mereka terlalu kuat di Selangor tanpa sokongan PAS.

Calon Untuk Saingi Azmin Ali Sebagai MB Selangor Diperkenal Dan Dapat Tepukan Gemuruh Di Konvensyen DAP Selangor


Berkurangnya suara PAS dalam Kerajaan PR Selangor yang membawa kepada pengurangan bilangan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor (dari 4 kepada 3) bukan dilakukan oleh orang luar, sebaliknya ia dilakukan orang dalaman PAS sendiri.

Sempena Konvensyen DAP Selangor yang berlangsung semalam, hero DAP yang sebenarnya seorang Adun PAS, Saari Sungib telah diraikan dan diberikan tepukan gemuruh, bila ditampilkan dihadapan para perwakilan DAP seluruh Selangor.

Saari disamping seorang lagi Adun PAS, Hasnul Baharuddin adalah 2 Adun PAS yang telah mencetuskan kontroversi, apabila bertindak sendirian yang berlawanan dengan arahan parti ketika berlakunya krisis perlantikan MB Selangor tempoh hari.

Tindakan Saari dan Hasnul itu, akhirnya memberi ruang kepada DAP untuk menuntut 4 jawatan kerajaan negeri dan telah dipersetujui peringkat awalnya oleh PKR seperti yang didedahkan SINI.

Saari juga telah memberi amaran awal kepada MB Selangor Azmin Ali dalam sidang DUN untuk memberi ruang kepada DAP membuat tuntutan demi tuntutan.


Dalam kedudukan DAP yang mempunyai 15 Adun dan dengan gula-gula yang disuap kepada Saari serta Hasnul, bukan sahaja membawa implikasi terhadap kedudukan PAS dalam Kerajaan PR Selangor, malahan memberi tekanan kepada Azmin.

Jika keseronokan Saari bersama DAP berterusan, tidak mustahil beliau akan ditawarkan jawatan MB Selangor untuk menggantikan Azmin.

DAP telah melakukan dalam pemilihan Timbalan Speaker DUN, jadi tidak mustahil jika menguji Azmin melalui undi tidak percaya di sidang DUN apabila tiba masanya kelak.

Sunday, November 30, 2014

Tony Pua Dakwa PKR Telah Berjanji Nak Bagi 4 Exco Kerajaan Pada DAP Kalau Pecat Khalid Ibrahim


Pengerusi DAP Selangor Tony Pua ketika berucap di Konvensyen DAP Selangor hari ini, mengungkit betapa PKR telah menjanjikan mereka 4 jawatan Exco Kerajaan Selangor kepada mereka, ekoran pemecatan TS Khalid Ibrahim sebagai MB.

Malah Pua telah membandingkan bilangan Adun DAP seramai 15 orang, yang sekadar mendapat 3 jawatan Exco. Sementara PKR yang hanya mempunyai 13 Adun, mempunyai 4 Exco dan seorang MB dalam Kerajaan PR Negeri Selangor.

Pua mengakui bahawa itulah puncanya yang mendorong kepada pencalonan Adun Sekinchan Ng Suee Lim, untuk menyaingi pencalonan Adun PAS Bangi Mohd Shafie Ngah bagi pemilihan Timbalan Speaker DUN Selangor 24 November lalu. Tanpa segan silu, dengan tewasnya Ng Suee Lim untuk jawatan tersebut, DAP Selangor menuntut tambahan seorang lagi Timbalan Speaker dalam DUN Selangor.

Dengan pendirian tersebut, tidak pula DAP mengiktiraf kelebihan PAS yang juga mempunyai 15 Adun tetapi telah dinafikan hak mereka dengan pengurangan bilangan Exco dari 4 kepada 3 sahaja.

Tuesday, November 25, 2014

Bedebah Punya Botak DAP - Sengaja Nak Derhaka Pada Majlis Raja-Raja Melayu


Hanya kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menukar beberapa nama jalan sempena nama-nama bekas Yang Di Pertuan Agung, Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng menuntut supaya dijalankan referendum (pungutan suara) diatas pertukaran nama tersebut, lapor The Malay Mail Online.

Sebelum ini DBKL telah mengumumkan pertukaran beberapa nama jalan, iaitu Jalan Duta kepada Jalan Tunku Abdul Halim Jalan Khidmat Usaha kepada Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Ipoh (antara Jalan Segambutdan persimpangan Jalan Pahang) kepada Jalan Sultan Azlan Shah, Persiaran Duta kepada Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin Jalan Khidmat Setia dan Jalan Ibadah kepada Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin, Lebuhraya Mahameru kepada Lebuhraya Sultan Iskandar, Persiaran Mahameru kepada Persiaran Tuanku Ja’afar dan Jalan Semarak kepada Jalan Sultan Yahya Petra.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk J. Loga Bala Mohan, pertukaran nama tersebut adalah sebagai memenuhi permintaan dari Majlis Raja-Raja.

Apakah susah sangat dengan pertukaran nama tersebut, walhal sebelum ini Jalan Tun H.S Lee asalnya High Street dan Jalan Bandar, Jalan Tun Sambathan (Jalan Brickfields) dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan Batu)?

Mungkin dia mahukan ada Jalan Chin Peng dan Jalan Lim Kit Siang?

Monday, November 24, 2014

Kedudukan Azmin Goyah Bila Kesemua Adun DAP Tidak Mengundi Calon PAS Sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor


DAP mengantar isyarat kepada Azmin Ali, bahawa kedudukannya sebagai MB Selangor adalah tidak selamat.

Melalui Adun-Adun DAP dalam DUN Selangor, mereka telah memprotes pencalonan Adun PAS Bangi Mohd Shafie Ngah, dengan mencalonkan Adun DAP Sekinchan Ng Suee Lim untuk bertanding dalam pemilihan Timbalan Speaker yang dikosongkan oleh Adun Seri Setia Nik Nazmi yang telah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Meski pun sekadar mendapat 14 undi melalui undian sulit, adalah sukar untuk menafikan bahawa kesemua undi tersebut datangnya dari Adun DAP (DAP mempunyai 15 Adun termasuk Speaker Hannah Yeoh).

Shafie menang dalam undian tersebut dengan meraih 28 undi, sementera kesemua 12 Adun BN mengambil pendirian untuk berkecuali.

Pendirian DAP Selangor membawa natijah besar yang menggambarkan betapa;

  • Menunjukkan sifat tamak DAP untuk membolot jawatan Timbalan Speaker meskipun jawatan Speaker sedia disandang oleh mereka;
  • Kedudukan PAS dalam Kerajaan Pakatan Selangor umpama melukut di tepi gantang dan tidak diperlukan;
  • Kedudukan Azmin juga goyah dan DAP menunggu lampu hijau dari DS Anwar Ibrahim untuk membawa usul undi tidak percaya kepada MB Selangor tersebut.
Rasanya, PAS pusat masih berpendirian 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong' dalam sikapnya terhadap DAP.

Anda nilailah sendiri!