Friday, February 12, 2010

Antara Demo dan Terima Cek

Antara dua SMS yang ini;

"Yang dihormati, esok jumaat, 12/2 perarakan bantahan isu YBK/MB/Anwar. Berkumpul selepas solat jumaat di Masjid Negeri, Shah Alam. Berarak ke SUK. Sila hadir beramai-ramai. Terima Kasih"

Atau yang ini;

"Sila hadir ke majlis esok bersamaan 12hb Feb bermula pada pukul 2.30 petang. Penyerahan cek bantuan per kapita Sekolah Agama Rakyat (KAFA Integrasi) Negeri Selangor oleh YB Dato' Noh Omar di Dewan Sekolah Menengah Agama Tinggi Hishamuddin, Kg. Jawa, Klang..pakaian BAJU MELAYU.."

Yang mana satu menjadi pilihan anda?

Teringat cerita Pak Pandir yang mendapat 2 undangan di hulu dan di hilir sungai, heheheh........


Saturday, February 6, 2010

Ezam Yang Berazam

Ezam Mohd Nor telah menyatakan keazamannya untuk memastikan DUN N46, Pelabuhan Klang yang kini diwakili oleh YB Badrul Hisham Abdullah (ADUN Bebas) dirampas semula oleh Barisan Nasional dalam pilihanraya yang akan datang. Perkara ini dinyatakan oleh beliau dalam majlis pelancaran Pejabat Perkhidmatan ADUN N46, di N0. 270, Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang.

Saya lihat majlis anjuran ADUN Bebas tersebut turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Bahagian parti komponen BN. Dicelah-celah kehadiran tetamu di majlis tersebut, saya ternampak orang kuat AMK satu cabang PKR di Selangor. Apabila menyedari mata saya tertumpu kepada beliau, dengan tergesa-gesa beliau menghilangkan diri dari pandangan saya. Timbul tandatanya dibenak pemikiran saya, samada kehadiran orang kuat AMK itu bertujuan untuk mengorek rahsia atau berkira-kira untuk menyeberang seperti Badrul Hisham?

Apa yang pasti, seperti yang diumumkan oleh Ezam sendiri, beliau akan datang lagi ke Pelabuhan Klang dalam tempoh 2 minggu dari sekarang. Hari ini beliau hanya buka mukadimah dan pastinya selepas ini beliau akan habis-habisan bercerita mengenai pengalaman beliau. Saya menunggu episod seterusnya pada 21 Februari nanti, insyaallah.

Wednesday, December 16, 2009

KPP Jadi Pusat Indoktrin Politik?

Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) adalah antara syarat yang diperlu dihadiri oleh mereka yang ingin mendapatkan lesen belajar memandu kenderaan "L". Kursus merupakan perkara awal yang perlu dihadiri oleh setiap calon "L".

Saya mendapat maklumat ada instruktor yang menggunakan kursus ini untuk menyebarkan dakyah dan provokasi anti kerajaan.

Telah berlaku di Pusat Latihan Memandu Kenderaan, Batu Lapan, Jalan Kapar, Klang bilamana instruktor telah memaklumkan kepada peserta kursus tentang polisi dan peraturan yang tidak dipersetujui. Memang kadang-kadang kita juga mungkin tidak bersetuju dengan beberapa perkara berhubung dengan polisi tetapi rasanya adalah tidak wajar bagi seorang pengendali kursus untuk meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada peserta kursusnya.

Selanjutnya si pengendali kursus itu juga ada secara sinikal mengkritik kerajaan. Satu bentuk provokasi telah dilontarkan kepada peserta kursus melalui soalan, "andainya perkara-perkara yang berikut berlaku serentak iaitu kenderaan bomba, kenderaan polis, ambulans dan sultan, yang mana satu mesti diberi keutamaan". Maka pelbagai jawapan telah diberikan oleh peserta kursus yang semuanya salah.

Pengendali kursus kemudian berkata "Jawapan yang sebenarnya ialah kenderaan sultan. Jangan tanya saya alasannya sebab sultan you all yang pilih, bukan saya".

Kepada Timbalan-Timbalan Menteri Pengangkutan sila dengar dan tengok sendiri isu ini. Almaklumlah Menteri Pengangkutan sentiasa sebok dengan masalah yang datang bertimpa-timpa!

Dr Halimah Mohd Ali, Exco Pendidikan Selangor tentu orang yang paling gembira kerana kejadian berlaku di kawasan Kapar. Bagaimana YB? Patutkah KPP ni dimansuhkan seperti BTN?

Monday, December 14, 2009

Khalid Samad & Rodziah Ismail Juara Kuil Shah Alam?

“Saya seorang yang bodoh tetapi sebodoh-bodoh saya, masih dapat membezakan mana yang bengkok dan mana yang lurus” – Muda

Sekali lagi YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan YB Rodziah Samad, ADUN Batu Tiga ingin menjadi juara dalam isu kuil. Malam tadi 13 Disember 2009, mereka telah tampil dalam perjumpaan dengan para penduduk Flat Perumahan Kos Rendah Sungai Rasau yang rata-ratanya merupakan bekas setinggan Kg Rimba Jaya dengan Majlis Bandaraya Shah Alam. MBSA diwakili oleh Timbalan Datuk Bandar.

Jika sebelum ini saya hanya mendengar atau membaca blog yang mengatakan Khalid dan Rodziah yang menjadi punca kepada kemelut isu kuil di Seksyen 23, Shah Alam tetapi apabila turut hadir dalam perjumpaan di Sungai Rasau tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa kedua-dua orang wakil rakyat ini bukanlah penyelesai masalah. Sebaliknya mereka ini adalah lebih kepada penimbul masalah.

Perjumpaan tersebut dimulakan dengan ucapan Khalid Samad. Didalam ucapanya antara lain Khalid memaklumkan kepada para penduduk bahawa terdapat percanggahan dalam penentuan tapak kuil. Satu pihak dikatakan telah memohon supaya tapak kuil dipindahkan ke kawasan parkir kereta yang keluasan kawasannya 4,000kp dan ini bermakna lot parkir penduduk flat terpaksa dikorbankan. Satu pihak lagi mahukan kuil tersebut kekal di tapak asal yang keluasannya 10,000kp.

Penduduk juga dimaklumkan bahawa pengundian akan dijalankan tetapi bukan pada ketika itu. Sebaliknya pengundian akan dibuat dalam bentuk bancian atau soal selidik dari rumah ke rumah. Jelas Khalid lagi, kaedah ini berbeza dengan kerajaan sebelumnya yang lebih berat kepada keputusan dibuat oleh pihak berkuasa negeri. Sebaliknya Kerajaan PR menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan. Beliau juga berharap agar perbincangan didalam perjumpaan tersebut akan berjalan tanpa pengaruh emosi dan secara terbuka.

Semasa giliran Rodziah, beliau tidak berucap panjang atas alasan semua perkara telah dijelaskan oleh Khalid.

Apabila majlis dibuka untuk perbahasan, seorang penduduk bernama Muda telah menghujahkan bahawa:-

  1. Rata-rata penduduk beragama Hindu mahukan kuil kekal ditempat asal yang berkeluasan 10,000kp dan ini bermakna tiada keperluan untuk mengorbankan kawasan parkir seluas 4000kp.
  2. Mempersoalkan rasional penglibatan penduduk dalam membuat keputusan, walhal masalah boleh diselesaikan diantara pihak berkuasa negeri dan pemaju.

Saya melihat sendiri yang hujah-hujah Muda telah mendapat respons dari semua bangsa, melalui tepukan gemuruh yang diterima dalam setiap hujahnya. Malah yang lebih menariknya, Muda memberitahu khalayak bahawa dia seorang bodoh. Akan tetapi, sebodoh-bodoh dirinya masih dapat membezakan antara yang lurus dan yang bengkok.

Rodziah kemudiannya memberi alasan bahawa sekiranya penerimaan cadangan mengorbankan kawasan parkir akan lebih memudahkan pembinaan kuil kerana ia dibawah bidang kuasa MBSA. Sebaliknya, sekiranya penduduk mahukan di tempat asal maka ia akan memakan masa untuk kelulusan.

Sebagai orang biasa di peringkat akar umbi saya berasa pelik dengan jawapan Rodziah kerana beliau ialah anggota Exco Kerajaan Negeri. Apa yang jelas kedua-dua mereka begitu mudah untuk cuci tangan, disamping bukannya untuk menyelesaikan masalah tetapi untuk menimbulkan masalah yang lain seperti yang telah mereka lakukan di Seksyen 23.

Wednesday, December 9, 2009

YB Badrul Dah Buka Blog

Terpacul dari mulut seorang dari kami yang sedang menunggu anak masing-masing (sesi petang, sebuah sekolah di Klang) di bawah pokok nangka, berhampiran pintu pagar sekolah, "Badrul tu ada sikit masalah. Lepas accident kepalanya tak betul".

Salah seorang dari kami melenting, "Berapa lama kau kenal Badrul? Engkau tahu tak aku ni duduk mana?". Saya renung muka kawan yang membantai Badrul tu. Tersipu-sipu dan tersengih-sengih dan menjawab dengan malu-malu alah, "Dekat rumah Badrul......". "Lain kali jangan dengar cerita dan dakyah orang" sambung kawan yang kebetulan jiran tetangga YB Badrul.

Kini YB Badrul yang dicerca dan telah yang telah memadamkan impian ramai orang yang berangan nak jadi calon wakil rakyat, memulakan melangkah ke dunia blog di sini, malah rupanya telah bersama mengikut rentak di pentas BN.

Monday, November 23, 2009

Mimpi Didalam Lena Yang Panjang

Nampak kebenaran dan tidak menghairankan bila Medan Info Kita dan RBF menyimpulkan barisan ADUN pembangkang khususnya UMNO Selangor diibaratkan sebagai mimpi indah didalam kelenaan yang panjang.

Secara tidak langsung, Dr Khir telah gagal membariskan satu saf yang boleh menjadi panglima di saat peperangan. Bagaimana agaknya, andai nya kepetusan PRU12 memihak kepada BN? Mungkin nama-nama ini iaitu Warno, Shukur, Subahan, Ismail Sani, Dr Karim, Bushro, Amirudin dan bekas-bekas pemuda yang sezaman dengan Dr Khir hanya layak sebagai pengampu, barangkali (?).

Sikap menikus yang ditunjukkan oleh mereka, umpama barisan tikus-tikus yang terlatih berperang di dalam tong beras!

Ayuh bangkit dan bersuara. Andainya Ketua Pembangkang dan Pemangku Ketua Pembangkang DUN Selangor telah dan akan digantung, anda semua juga harus bersedia ke arah itu. Kami rindu suara kamu!


Wednesday, October 14, 2009

Analisis Gila @ Bangang PRK Bagan Pinang

Sengaja saya copy dan tidak linkkan dengan alhusseyn kerana berkemungkinan besar entry ini akan ditarik balik. Sila baca dan anda nilaikan sendiri kesilapan-kesilapan analisis tersebut yang seperti berikut:-




Ramai beranggapan bahawa undi bukan Melayu telah memihak kepada UBN dalam PRU Bagan Pinang yang baru lalu.Tetapi kalau di teliti , mungkin anggapan tersebut tidak berapa tepat.

Kalau diperhatikan keputusan undi di Ladang Atherton, BN mendapat 124 undi pada 2008, berbanding 239 undi pada kali ini dengan lebihan 115 undi.Sementara PAS memperolehi 91 undi pada 2008 berbanding 84 undi kali ini dengan kekurangan sejumlah 7 undi sahaja.Katakanlah jumlah 7 undi yang lari dari PAS itu memihak ke BN, dari mana pula datangnya angka 108 (115-7=108) undi lebihan yang diperolehi BN itu?

Di Sua Betong, BN memperolehi 213 undi berbanding 244 undi pada 2008 – kurang 31 undi.Sementara PAS pula mendapat hanya 46 undi berbanding 93 undi pada 2008 – kurang 47 undi. Namun 47 undi tersebut tidak memihak kepada BN; kerana BN sendiri merosot 31 undi pada kali ini.Apa sudah jadi kepada 78 pengundi (31-BN dan 47-PAS)?

Di Pekan Silliau, PAS merosot 32 undi sahaja berbanding penambahan di pihak BN 155 undi.Bagaimana jumlah besar yang mendadak sebegini boleh berlaku?

Walau bagaimana pun keputusan di dua tempat berikut ada kemungkin undi bukan Melayu telah memihak kepada BN. Ini mungkin akibat Pakatan Rakyat yang tidak kemas di Selangor.

Di Taman Eastern, BN mendapat penambahan 13 undi manakala PAS merosot sejumlah 49 undi.Sebilangan pengundi tidak keluar mengundi?

Keputusan undi di Ladang Bradwall , BN memperolehi penambahan undi berjumlah 45 sementara PAS berkurangan 47 undi. Jelasnya pengundi PAS di Bradwall telah beralih ke BN.

PAS perlu menggandakan usaha dengan kerja-kerja kebajikan terutama terhadap para pekerja diladang-ladang.Gerakan dakwah juga perlu dipertingkatkan selain mengadakan program yang menarik untuk memikat hati anak-anak muda bersama untuk berjinak-jinak dengan perjuangan PAS.

Kepada Alhusseyn, anda dinasihatkan supaya pergi belajar "STATISTIKS"! Apa pasal hang pi bandingkan undi PAS 2009 dengan majoriti 2008?