Wednesday, October 14, 2009

Analisis Gila @ Bangang PRK Bagan Pinang

Sengaja saya copy dan tidak linkkan dengan alhusseyn kerana berkemungkinan besar entry ini akan ditarik balik. Sila baca dan anda nilaikan sendiri kesilapan-kesilapan analisis tersebut yang seperti berikut:-




Ramai beranggapan bahawa undi bukan Melayu telah memihak kepada UBN dalam PRU Bagan Pinang yang baru lalu.Tetapi kalau di teliti , mungkin anggapan tersebut tidak berapa tepat.

Kalau diperhatikan keputusan undi di Ladang Atherton, BN mendapat 124 undi pada 2008, berbanding 239 undi pada kali ini dengan lebihan 115 undi.Sementara PAS memperolehi 91 undi pada 2008 berbanding 84 undi kali ini dengan kekurangan sejumlah 7 undi sahaja.Katakanlah jumlah 7 undi yang lari dari PAS itu memihak ke BN, dari mana pula datangnya angka 108 (115-7=108) undi lebihan yang diperolehi BN itu?

Di Sua Betong, BN memperolehi 213 undi berbanding 244 undi pada 2008 – kurang 31 undi.Sementara PAS pula mendapat hanya 46 undi berbanding 93 undi pada 2008 – kurang 47 undi. Namun 47 undi tersebut tidak memihak kepada BN; kerana BN sendiri merosot 31 undi pada kali ini.Apa sudah jadi kepada 78 pengundi (31-BN dan 47-PAS)?

Di Pekan Silliau, PAS merosot 32 undi sahaja berbanding penambahan di pihak BN 155 undi.Bagaimana jumlah besar yang mendadak sebegini boleh berlaku?

Walau bagaimana pun keputusan di dua tempat berikut ada kemungkin undi bukan Melayu telah memihak kepada BN. Ini mungkin akibat Pakatan Rakyat yang tidak kemas di Selangor.

Di Taman Eastern, BN mendapat penambahan 13 undi manakala PAS merosot sejumlah 49 undi.Sebilangan pengundi tidak keluar mengundi?

Keputusan undi di Ladang Bradwall , BN memperolehi penambahan undi berjumlah 45 sementara PAS berkurangan 47 undi. Jelasnya pengundi PAS di Bradwall telah beralih ke BN.

PAS perlu menggandakan usaha dengan kerja-kerja kebajikan terutama terhadap para pekerja diladang-ladang.Gerakan dakwah juga perlu dipertingkatkan selain mengadakan program yang menarik untuk memikat hati anak-anak muda bersama untuk berjinak-jinak dengan perjuangan PAS.

Kepada Alhusseyn, anda dinasihatkan supaya pergi belajar "STATISTIKS"! Apa pasal hang pi bandingkan undi PAS 2009 dengan majoriti 2008?

Wednesday, July 8, 2009

Kabinet Bakal Mansuhkan PPSMI?

Ketika artikel ini ditulis, mungkin kabinet sedang membincangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Khabarnyanya, apa juga keputusan adalah muktamat.

Secara peribadi, saya berpendirian menyokong perlaksanaan PPSMI malah anak-anak saya juga selesa dengan dasar tersebut. Anak saya yang sulung, merupakan pioneer untuk PPSMI di sekolah menengah. Daripada 5 orang anak, 3 memulakan PPSMI di sekolah menengah dan bakinya bermula di sekolah rendah.

Sistem pendidikan di zaman persekolahan saya, wujud 2 aliran iaitu Melayu dan Inggeris. Dengan kekangan budaya, faktor geografi dab ekonomi ketika itu, saya dihantar sekolah Melayu. Tambahan pula, yuran untuk sekolah aliran Inggeris lebih mahal berbanding sekolah Melayu, disamping sekolah yang paling berhampiran ialah sekolah Melayu.

Ketika di IPT, saya terpaksa belajar lebih masa berbanding dari rakan-rakan dari aliran Inggeris kerana terpaksa belajar semua peringkat modul Bahasa Inggeris. Malahan seorang rakan saya tertangguh penyempurnaan diplomanya apabila terpaksa menghadiri 1 semester semata-mata untuk kursus intensif Bahasa Inggeris.

PPSMI, pada saya memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mendapat pendidikan yang setara. Pernah saya diajukan soalan oleh seorang sahabat, dikalangan pelopor-pelopor utama dalam gerakan menentang PPSMI masihkah mempunyai anak yang bersekolah? Bahkan rata-rata adalah terdiri mereka yang sebaya dengan ibu bapa kita.

Soalnya sekarang, apakah matlamat penentangan terhadap PPSMI? Anti-establisment, politik atau pun yang member idea itu seorang insan yang bernama Mahathir? Apa pun, saya masih berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan anak-anak malah berterima kasih kepada terhadap PPSMI yang memberi ruang kepada saya mengeluarkan biaya yang murah untuk satu sistem pendidikan yang diidam-idamkan oleh mereka yang berada.

Tuesday, June 16, 2009

Perak Anjurkan Selangor Turuti Mereka

Saya tidak pasti kesahihan sumber dari Perak ini. Namun andainya ini benar-benar berlaku, tidak adakah pilihan lain untuk menyediakan kemudahan kepada Ahli-Ahli Majlis yang begitu ghairah untuk berkhidmat? Umpamanya, dengan menyediakan ruang untuk Ahli-Ahli Majlis di pejabat-pejabat cawangan atau di dewan-dewan yang dibawah seliaan pihak berkuasa tempatan.

Saya yakin, jika pilihan tersebut diambil, kos peruntukan untuk tujuan tersebut tidak akan akan mencecah angka RM8 juta.

Sumber kedua juga dari Perak, seolah-olah menganjurkan Selangor menuruti teladan seperti Perak kot?

Monday, June 15, 2009

Selangor Negeri Kebajikan

Selangor di bawah PR merupakan sebuah negeri kebajikan. Begitu juga BN sebelum PRU12, sebagai menjawab manifesto bersama PKR dan PAS menyatakan bahawa Selangor semula jadi adalah negeri kebajikan, kerana namanya sendiri pun dikenali sebagai “Selangor Darul Ehsan”.

Barangkali kerajaan yang dibawah nama “Pakatan Rakyat”, membolehkan rakyat terlalu berkuasa. Bila malam, untuk pergi makan-makan dengan keluarga di Bandar Bukit Tinggi, Klang orang awam boleh buat “double parking” dan menyusahkan pengguna yang lain. Mungkin pihak berkuasa tempatan tidak berani mengambil tindakan semuanya sudah “dirakyatkan”. Apalah ertinya kebebasan diberikan kepada rakyat yang hanya memberikan tiket kepada rakyat untuk membuat “suka-suka hati” melanggar peraturan dan pada yang sama menyusahkan rakyat yang lain. Soalnya, dimanakah penguatkuasaan?

Minggu lepas, ketika duduk bersembang dengan rakan lama di suatu majlis perkahwinan, saya dimaklumkan bahawa ada PBT yang semakin kurang kantungnya. Saya membalas, mana mungkin walhal saya telah membayar cukai taksiran sebelum berakhir tempoh, 28 Februari. Semalam pula, di suatu majlis yang lain terdengar rungutan JKKK pening kepala sebab ketiadaan sumber. Sebelum ini pun, ada rakan yang menganjurkan agar jangan bayar cukai atas alasan negeri kebajikan (alasan yang munasabah?).

Dalam hati cuma boleh berkata, mungkin kegawatan ekonomi atau mungkin terlalu berkebajikan (?). Kalau benar kerajaan Selangor kekurangan sumber dana, maka harapan yang tinggi kepada Dato’ Seri Najib untuk pertimbangkan harga RM9.7 bilion bagi penjualan asset-aset bekalan air negeri Selangor. Sekurang-kurangnya adalah sumber bagi kerajaan PR Selangor untuk terus berkebajikan!

Thursday, June 4, 2009

Harapan Kepada Muktamar PAS 2009

Selamat bersidang kepada PAS sempena Muktamar Tahunan PAS ke 55 yang bakal berlangsung dari 5 - 7 Jun 2009. Disamping memberi mandat kepada saf kepimpinan baru pasca PRU12, beberapa perkara-perkara perlulah diberi perhatian umpamanya bala sekularisasi dan juga cabaran apabila mempunyai penyokong yang berbagai latar belakang.

Slogan “PAS For All” sememangnya berkesan. Oleh sebab itulah, dalam keadaan sekarang PAS bukan sahaja disokong golongan yang bersimpati kepada agama Islam tetapi juga disokong oleh mereka yang tahi arak, kaki judi dan penagih dadah, malahan juga golongan opportunis.

Dalam banyak keadaan, pemimpin-pemimpin utama PAS sering menyatakan perjuangan Islam adalah lebih utama dari bangsa. Namun masih ada juga yang memmpunyai sentimen Melayu seperti YB Iskandar Abdul Samad.

Klang merupakan Bandar Diraja Negeri Selangor. Khabarnya sebuah Pusat Kebudayaan China akan didirikan di sebelah masjid baru di Klang Utara. Tidak pasti samada sumber itu betul atau tidak, namun dikhabarkan juga tapak yang terlibat adalah milik Yayasa Selangor. Sekiranya, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, YB Hassan Ali terikat dengan suara kepimpinan PAS untuk tidak menyuarakan kepentingan Melayu, maka suara YB Iskandar Abdul Samad yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, mungkin boleh digunakan untuk menyelamatkan maruah Klang sebagai Bandar Diraja yang menjadi lambang bertakhtanya Kesultanan Melayu.

Tidakkah slogan "Islam For All" itu tidak terkecuali dalam hal pembelaan Melayu? Ayuh YB Iskandar, laksanakan tugas anda!

Tuesday, June 2, 2009

Pelabuhan Klang Bakal Menyusul Selepas Penanti?

Mungkin ada kebenaran cakap-cakap orang bahawa calun-calun PR untuk pilihanraya yang lalu umpama main tangkap muat. Dengan demikian maka terhasillah satu saf kepimpinan yang tidak bermaya, tidak mempunyai ketokohan, apatah lagi kewibawaan.

Bagi kawasan DUN N.46 Pelabuhan Klang, Selangor cakap-cakap di kedai kopi kuat menghentam wakil rakyat PKR YB Tuan Badrol Hisham Abdullah. Tidak menjadi pelik kalau hentaman dan pukulan dari UMNO/BN tetapi yang menghairan malah menjengkelkan, pukulan dan hentaman datang dari kalangan PKR dan JKKK yang dilantik oleh Kerajaan PR Selangor. Mengikut penganilisis politik kedai kopi YB Tuan Badrol menjadi liabiliti kepada PKR. Kedudukan beliau umpama akan bakal ‘mati beragan’, kekal dalam PKR susah dan melompat ke UMNO pun susah.

Mungkinkah ada lagi pilihan raya kecil seperti yang diramalkan oleh X-PKR yang meletakkan YB Tuan Badrol toplist untuk ditukar oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sesudah PRK Penanti?

Wednesday, May 27, 2009

Era FM Vs Ahmad Maslan: Siapa Lebih Popular?

Sebagai seorang yang menghampiri usia senja, saya lebih cenderung untuk mendengar radio yang berbentuk informatif. Oleh itu, Radio 24 Bernama dan stesyen tempatan Selangor FM selain mendengar Sinar FM untuk mengimbau kenangan silam melalui muzik retronya, serta Light FM untuk siaran Bahasa Inggeris adalah menjadi pilihan saya.

Kemuncak zaman muda saya, Radio Malaysia Ibu Kota (RMIK) menjadi stesyen kegemaran golongan muda, khususnya di kawasan Lembah Klang. Dengan kewujudan stesyen-stesyen swasta, maka pilihan para pendengar semakin terbuka luas dan persaingan untuk menarik perhatian pendengar semakin hebat. Pada 1997, stesyen yang khusus untuk penggemar muzik rock seperti saya dilancarkan di frekuensi 103.3. Namun ia tidak bertahan lama dan akhirnya dijadikan sebuah stesyen berbahasa Melayu dengan nama Era FM. Bermula dari situlah Era FM telah berkembang dan menjadi ikutan pendengar golongan muda yang begitu ramai dan membolehkan Era FM dinobatkan sebagai stesyen No. 1.

Apabila Hot FM muncul, maka bertambahlah pilihan pendengar dan ia menjadi saingan kepada Era Fm. Persaingan diantara kedua-dua stesyen tidaklah menimbulkan sebarang masalah untuk saya membuat pilihan. Seperti yang saya nyatakan seawalnya, saya lebih cenderung kepada stesyen yang berbentuk informatif dan retro. Namun, tidaklah bermakna bahawa saya tidak sama sekali tidak mengikuti dua stesyen hiburan utama tersebut. Selalunya, apabila menghantar dan mengambil anak dari sekolah, anak-anak meminta dialihkan frekuensi diantara dua stesyen tersebut.

Akhir-akhir ini, nampaknya Era FM semakin kehilangan arah. Mungkin untuk tujuan mengekal dan juga menarik perhatian pendengar baru, maka gandingan baru seperti Aznil & Din Beramboi dan untuk dua hari berturut ini saya mendengar tugasan Trio Sepah (yang baru-baru ini ditabalkan Raja Lawak oleh Stesyen TV Prima) disiaran pagi stesyen tersebut. Justeru, sewajarnya Era FM mengubah slogan mereka dari “Rentak Muzik Terkini” kepada “Info Lawak Terkini” (?).

Pedekatan baru yang dibuat oleh Era FM ini, mengingatkan saya kepada Ahmad Maslan yang baru ditugaskan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia, juga telah melakukan langkah yang serupa, seperti yang dilakukan dikomenkan di sana dan di sini. Tanpa disedari ia telah menjadi bahan lawak terkini!