Wednesday, May 27, 2009
Era FM Vs Ahmad Maslan: Siapa Lebih Popular?
Kemuncak zaman muda saya, Radio Malaysia Ibu Kota (RMIK) menjadi stesyen kegemaran golongan muda, khususnya di kawasan Lembah Klang. Dengan kewujudan stesyen-stesyen swasta, maka pilihan para pendengar semakin terbuka luas dan persaingan untuk menarik perhatian pendengar semakin hebat. Pada 1997, stesyen yang khusus untuk penggemar muzik rock seperti saya dilancarkan di frekuensi 103.3. Namun ia tidak bertahan lama dan akhirnya dijadikan sebuah stesyen berbahasa Melayu dengan nama Era FM. Bermula dari situlah Era FM telah berkembang dan menjadi ikutan pendengar golongan muda yang begitu ramai dan membolehkan Era FM dinobatkan sebagai stesyen No. 1.
Apabila Hot FM muncul, maka bertambahlah pilihan pendengar dan ia menjadi saingan kepada Era Fm. Persaingan diantara kedua-dua stesyen tidaklah menimbulkan sebarang masalah untuk saya membuat pilihan. Seperti yang saya nyatakan seawalnya, saya lebih cenderung kepada stesyen yang berbentuk informatif dan retro. Namun, tidaklah bermakna bahawa saya tidak sama sekali tidak mengikuti dua stesyen hiburan utama tersebut. Selalunya, apabila menghantar dan mengambil anak dari sekolah, anak-anak meminta dialihkan frekuensi diantara dua stesyen tersebut.
Akhir-akhir ini, nampaknya Era FM semakin kehilangan arah. Mungkin untuk tujuan mengekal dan juga menarik perhatian pendengar baru, maka gandingan baru seperti Aznil & Din Beramboi dan untuk dua hari berturut ini saya mendengar tugasan Trio Sepah (yang baru-baru ini ditabalkan Raja Lawak oleh Stesyen TV Prima) disiaran pagi stesyen tersebut. Justeru, sewajarnya Era FM mengubah slogan mereka dari “Rentak Muzik Terkini” kepada “Info Lawak Terkini” (?).
Pedekatan baru yang dibuat oleh Era FM ini, mengingatkan saya kepada Ahmad Maslan yang baru ditugaskan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia, juga telah melakukan langkah yang serupa, seperti yang dilakukan dikomenkan di sana dan di sini. Tanpa disedari ia telah menjadi bahan lawak terkini!
Friday, May 22, 2009
Kewajaran Pakatan Rakyat Didaftarkan
Rasanya, bukan sahaja saya malah kebanyakan rakyat juga ingin melihat hala tuju sebenar PR yang komponennya pelbagai ideologi. PR harus dilihat mempunyai satu iltizam untuk mentadbir negara dan bukannya meletakkan niat untuk menumbangkan BN , atas dasar benci, meluat dan atas faktor yang BN itu telah memerintah negara terlalu lama.
Bagi PKR dan DAP secara umumnya mempunyai asas-asas persamaan dari segi ideologi dan matlamat, namun persoalannya apakah PAS besedia untuk mengubah ideology dan matlamat partinya? Era 70an dan 80an PAS begitu lantang menghentam UMNO yang menjadi tunjang BN kerana tidak Islamik, walhal realitinya komposisi kerakyatan yang majmuk perlu diambilkira dan memerlukan tolak ansur.
Hakikatnya, kecuali di Pulau Pinang PAS tidak diwakili dalam kerajaan negeri tetapi PAS mempunyai kuasa mutlak di Kelantan dan Kedah. Sementara di Selangor, PAS adalah komponen yang berperanan untuk membuat keputusan. Malah, andainya keputusan mahkamah memihak kepada Dato’ Seri Nizar maka bermakna PAS mempunyai 3 Menteri Besar.
Konsep dan peranan PAS seharusnya dinyatakan dengan jelas khususnya perkara Negara Islam dan persoalan demi persoalan tidak lagi diajukan. Dalam merintis jalan ke Putra Jaya, adalah perlu pendirian PAS atas perkara sistem politik Islam yang tegak atas prinsip-prinsip al-Syura, keadilan, kebebasan, persamaan, kepatuhan dan skop yang dibenarkan untuk menyoal ketua negara. Jika tidak, bermakna PAS juga menerima konsep demokrasi barat. Akhirnya, akar umbi akan mempersoalkan, apa bezanya PAS dan UMNO?
Atas keperluan di atas, molek benar pernyataan ideologi bersama digagaskan dan didaftarkan secara sah melalui Pakatan Rakyat. Jika tidak, bila berkuasa selepas PRU13 maka tonggang langganglah pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia akibat dari tiada persamaan hala tuju.
Wednesday, May 20, 2009
Simpati Buat YM Raja Petra Kamaruddin & Keluarga
Rasa belas dan simpati kepada seorang yang bergelar ayah yang turut terpalit akibat perbuatan anaknya seperti dilapurkan di sini. Betapa tidaknya, saya juga mempunyai 3 orang anak lelaki yang berumur 11-17 tahun yang tidak saya ketahui nasib dan masa depan mereka.
Sesungguhnya, kepada Allah jua saya pohon perlindungan agar ditetapkan iman anak-anak lelaki saya. Sedangkan telah diriwayatkan kepada kita semua perihal anak-anak Nabi Nuh dan Nabi Lut yang tidak mahu mendengar nasihat bapa masing-masing, apatah lagi YM RPK dan diri saya sendiri yang merupakan insan biasa.
Kepada YM RPK, saya rakamkan rasa simpati yang seamatnya dan sama-samalah kita tanamkan keazaman untuk menjadikan suasana selamat di kawasan kejiranan kita. Sesungguhnya, ruang terbentang luas untuk YM Raja Azman untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukannya.
Tuesday, May 19, 2009
Selingkar Kisah Kehidupan
Si anak tanpa menyedari gelagatnya diperhatikan, membelek-belek barangan yang terletak di atas meja tersebut. Awalnya mereka amat bersyukur kerana anaknya telah mengambil Al-Quran, lantas mengelek di celah ketiaknya. Namun setelah beberapa langkah, si anak tadi berpatah balik lalu mengambil pula not RM50 dan memasukkan ke dalam poketnya.
Menyedari ada pula senaskhah majallah porno, si anak membuka lembaran demi lembaran muka surat majallah porno tersebut. Leka dengan aksi foto yang terpampang di majallah itu, anak muda itu lantas membuka botol wain dan terus menogok air terlarang tersebut. Dalam keadaan yang dipengaruhi alkohol, si anak muda menulis sesuatu di atas sehelai kertas. Rupa-rupanya, di atas meja dimana barangan itu ada beberapa helaian borang keahlian sebuah parti politik yang kebetulan siang tadi dihantar oleh jiran mereka siang tadi. Akhirnya, si anak telah mendaftar keahliannya kepada sebuah parti politik.
Mengakhiri cerita itu, bekas ahli korporat tersebut berkata “Sebenarnya cerita tadi adalah cermin kepada keadaan politik pada hari ini. Bagi kamu semua yang lebih muda dari saya fikirkanlah sendiri disebalik yang tersirat.......”.
Secara peribadi, saya takkan komen apa-apa, memadai simpan untuk diri sendiri!
Monday, May 18, 2009
BN Ambil Pendirian Yang Betul Untuk Tidak Bertanding di PRK Penanti
Adalah tidak wajar, tidak turut sertanya UMNO dikatakan sebagai penakut. Andainya BN turut serta dan ditakdirkan menang pun tidak membawa sebarang makna terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Justeru, apa salahnya jika kita berpandangan positif demi kebaikan rakyat Pulau Pinang itu sendiri? Malahan juga, dengan pendirian tersebut bermakna kita tidak berpanjangan berpolitik tanpa sebarang langkah untuk pengukuhan pentadbiran demi kesejahteraan rakyat.
Pada saya, terima kasih DSN!
Friday, May 15, 2009
Kalaulah UMNO, PAS dan PKR Diibaratkan Manusia
Merujuk kepada UMNO, PAS dan PKR yang merupakan parti-parti utama orang Melayu, lalu diandaikanlah mereka ini manusia, maka bolehlah dipesankan kepada mereka yang berikut;
Kepada UMNO, sedar-sedarlah bahawa kamu dah masuk usia kematian. Namun pada PAS janganlah perasan sangat, awak tu tahun depan akan masuk umur pencen. Tempoh hari, umur menjangkau 53 tahun barulah nak bergaya dan melaram. Dulu bukan main konservatif kau tu. Eh, kau ni PKR, baru 10 tahun nak bising-bising dan kecoh-kecoh. Awak tu budak lagi, bersunat pun belum!
Tuesday, May 12, 2009
Politik Yo Yo
Dalam konteks ini, saya lebih gemar untuk membuat pilihan membaca posting dari mereka yang berlatar belakang undang-undang seperti hk.dan dsn. Ini bertujuan untuk menambah sedikit pengetahuan berkenaan dengan undang-undang.
Kekurangan yang saya sedari dan maklumi wujud dalam diri saya, membataskan saya untuk membuat sebarang komen yang melulu. Malah yang terkini, keadaan semakin menjadi yo-yo seperti boleh dibaca di sini.