Friday, May 15, 2009

Kalaulah UMNO, PAS dan PKR Diibaratkan Manusia

Terbaca harimau, baru sedar bahawa usia UMNO dah menjangkau 63 tahun. Terima kasih kepada harimau yang mengingatkan aku tentang mati. Ialah, semakin hari saling berganti maka semakin dekat diri aku kepada ajal.

Merujuk kepada UMNO, PAS dan PKR yang merupakan parti-parti utama orang Melayu, lalu diandaikanlah mereka ini manusia, maka bolehlah dipesankan kepada mereka yang berikut;

Kepada UMNO, sedar-sedarlah bahawa kamu dah masuk usia kematian. Namun pada PAS janganlah perasan sangat, awak tu tahun depan akan masuk umur pencen. Tempoh hari, umur menjangkau 53 tahun barulah nak bergaya dan melaram. Dulu bukan main konservatif kau tu. Eh, kau ni PKR, baru 10 tahun nak bising-bising dan kecoh-kecoh. Awak tu budak lagi, bersunat pun belum!

Tuesday, May 12, 2009

Politik Yo Yo

Saya tidak ingin mengulas berkenaan keputusan mahkamah berhubung pertikaian MB Perak. Pada pandangan, saya ia bersifat akademik dan tidak wajar bagi saya membuat ulasan berdasarkan kehendak dan naluri semata-mata. Tidak molek rasanya, dengan hanya sekadar pernah menduduki peperiksaan untuk subjek “Malaysian Legal System” dan “ Law of Contract”, menjadi tiket untuk saya untuk turut sama berhujah.

Dalam konteks ini, saya lebih gemar untuk membuat pilihan membaca posting dari mereka yang berlatar belakang undang-undang seperti hk.dan dsn. Ini bertujuan untuk menambah sedikit pengetahuan berkenaan dengan undang-undang.

Kekurangan yang saya sedari dan maklumi wujud dalam diri saya, membataskan saya untuk membuat sebarang komen yang melulu. Malah yang terkini, keadaan semakin menjadi yo-yo seperti boleh dibaca di sini.

Wednesday, May 6, 2009

Apa akan Jadi Kalau Perubahan Kuasa 16 September 2008 Menjadi Kenyataan?

Bagaimana agak reaksi para penyokong Pakatan Rakyat, jika berlaku perubahan kuasa pada 16 September 2008? Gembira, bersorak dan mengejek? Atau pada mereka, itu suatu kejayaan malah dan tidak salah.



Begitu juga dengan komen yang begitu optimis akan berlaku “peralihan sampan” oleh ADUN-ADUN BN Perak dan akan mengukuhkan lagi Kerajaan PR Perak.



Akhirnya BN yang dilebelkan sebagai SALAH dan PEROMPAK kuasa bila pengumuman di bawah dibuat.



Sebagai rakyat biasa, aku hanya boleh senyum-senyum kambing bila para penyokong PR marah-marah dan akan berarak menentang MB Perak yang baru dan Persidangan DUN Perak yang akan berlangsung esok, 7 May 2009. Adat berpolitik, ada yang menang ada yang kalah, tetapi seri jarang-jarang berlaku. Sebaliknya, andai kata impian 16 September 2008 menjadi kenyataan, mereka tak marah kot?

Tuesday, April 28, 2009

BN Yang Semakin Longlai?

Apakah sebenarnya disebalik kejatuhan kerajaan BN di 4 negeri? Adakah ia berpunca dari kelemahan UMNO yang mempunyai sifat-sifat salah guna kuasa, perebutan kuasa, rasuah, egois, rasis dan lain-lain lagi? Sekiranya benar-benar perkara-perkara tersebut yang mendorong kejatuhan BN, maka bermakna ‘benchmark’ yang rendah telah dicatatkan oleh BN dalam indeks prestasi kepimpinannya. Justeru, adalah amat mudah bagi PR samada mengurus kerajaan dan mengurus hal-ehwal dalaman parti. Kelemahan-kelemahan BN seharusnya dijadikan sempadan dan peluang untuk melakukan kesilapan oleh PR adalah amat rendah.

Akan tetapi, masih wujud ketidakpuasan hati, misalnya di sini juga di sini pengusaan jawatan oleh kelompok tertentu seperti di Kuala Langat.

Berkaitan dengan hal di atas, saya ingin menceritakan pengalaman saya duduk di bawah sebuah pertubuhan belia. Sebagai seorang yang muda ketika itu, sikap panas baran mengusai jiwa saya. Oleh kerana terlalu marah dan kecewa dengan organisasi yang diterajui oleh seorang yang kebetulan juga menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO, lalu saya menyertai NGO yang diketuai oleh seorang kenalan semenjak kecil. Dalam hati kecil berkata, daripada membantu orang tak berguna itu, baik sama-sama bergerak dalam NGO yang diketuai oleh sahabat lama ini.

Namun harapan saya meleset sama sekali. Dari segi pentadbiran, sahabat saya pemimpin NGO ini gagal. Borang keahlian membukit di satu sudut rumahnya tak dimajukan ke pentadbiran kebangsaan, laporan tahunan ke Pendaftar Pertubuhan juga tidak dibuat. Akhirnya pendaftaran banyak cawangan telah digantung dan pentadbiran organisasi peringkat daerah juga lintang pukang. Akhirnya, NGO yang saya sertai tersebut menjadi KOMA dan terpaksa dipulihkan, melalui pengambilalihan pentadbiran dikalangan kami demi meneruskan kelansungan organisasi.

Bukan itu sahaja, pernah diceritakan oleh seorang sahabat yang lain bahawa bekas pemimpin NGO ini juga pernah menduduki kerusi Lembaga Pengarah sebuah koperasi. Maka beliau pun telah diamanahkan untuk menjalan projek kedai runcit, sebagai cabang perniagaan koperasi. Akhirnya, kedai runcit lingkup malah yang menyedihkan asset kedai runcit iaitu sebuah lori juga lesap. Tanpa disedari oleh jemaah Lembaga Pengarah, rupa-rupanya telah diftarkan atas nama peribadi bekas pemimpin NGO terbabit.

Khabarnya, pemimpin berkenaan telah menjawat jawatan YDP PAS Kawasan. Sebagai peringatan kepada para pemimpin dan juga ahli-ahli PAS, andainya berlaku pembatalan pendaftaran PAS Kawasan atau pembatalan ranting-ranting PAS, jangan terus menuding kepada Hishamudin Hussein, selaku Menteri Dalam Negeri tapi salahkan YDP berkenaan yang telah terbukti mempunyai kelemahan didalam kepimpinannya.

Apa pun, PAS kena menerima hakikat ini kerana pemimpin berkenaan telah dipilih secara sah dalam mesyuarat agung dan bukan sengaja dihantar oleh pihak lawan untuk memporakperandakan parti anda!

Friday, April 24, 2009

Selamat Berkhidmat YB Rodziah!




Kelmarin, lepas pekena teh tarik dan roti canai, terus tuju Stadium Shah Alam. Bukan apa, sekadar memenuhi hajat anak-anak yang 5 orang tu yang ingin sangat menyaksikan final Piala FA, Selangor vs Kelantan. Dalam perjalanan balik, anak remaja saya ajak singgah ke Rimba Jaya, kawasan setinggan yang menjadi kontroversi, malah dikatakan antara punca tumbangnya Kerajaan BN Selangor, pimpinan YB Dato’ Seri Khir Toyo.

Pelik juga budak ni, dulu masa berusia 2 tahun kalau pergi ke Rimba Jaya, alamat duduk dalam kereta tak mahu keluar. Bukan main sombong, sebab perumahan setinggan Rimba Jaya umpama rumah bagan. Memang pada masa itu, tempat tu kawasan berpaya. Yang ada cuma jalan yang boleh dilalui sebiji kereta. Sementara dari jalan ke tiap-tiap rumah dihubungkan oleh titi kayu. Rumah di bendang pun ada halaman tanah, tapi tidak di Rimba Jaya pada masa itu persekitarannya digenangi air.

Sesampainya kami ke tempat itu didapati kawasan tersebut telah berpagar yang menggambarkan pembangunan atau pembinaan sedang berjalan. Saya pun keluar dari kereta, pergi menjenguk di celah-celah tembok zink. Sunyi sepi sahaja dan tiada sebarang tanda projek sedang berjalan.

Apa sudah jadi? Dulu dengan penuh yakin YB Rodziah Ismail, ADUN PKR Batu Tiga, Selangor berkata melalui kenyataan media di Malaysiakini masalah boleh selesai dalam masa terdekat dan saya cukup kagum padanya.

Setelah lebih setahun berlalu, masih lagi tak bergerak.
Kalau Nampak kemajuannya boleh juga dipanjangkan idea YB tersebut dalam membangunkan semula tapak asal perumahan kos rendah di Seksyen 16, Shah Alam yang sebelum ini penghuninya telah diarahkan berpindah ke Seksyen 20. Seterusnya, tapak perumahan kos rendah itu juga boleh dijadikan kawasan perumahan selesa bagi bekas setinggan. Tindakan kena segera, jika tidak, hasrat “buka pintu nampak tanah” akan menjadi “buka pintu dah asa dalam tanah”.

Kepada Dato’ Salamon, berat mata memandang berat lagi bahu memikul dan kini YB Rodziah pun dah faham kot? Beruntung YB Rodziah kerana tak perlu menyinsing kain mengharung air bila melawat ke Rimba Jaya!

Thursday, April 23, 2009

Oh, Begitu Seninya Politik!

Saya dah semakin seronok melihat “Permainan Politik Di Malaysia”. Saya telah mula nampak kelicikan yang penuh dengan seni, muslihat , strategi dan taktik yang begitu tersusun. Penyokong fanatik hanyalah sebagai penyumbang kemeriahan apatah lagi di alam siber ini.

Bermula dengan lompatan Dato’ Nasarudin ke PKR. Reaksi dalam UMNO menyumpah-nyumpah dan ada yang minta dikosong kerusi DUN Bota. DSAI sendiri pun isytihar bahawa ada lagi ADUN BN yang akan menyeberang ke PR. Kemudian pecah berita 2 Exco Perak hilang dan selanjutnya dengan 2 kerusi yang diwakili oleh Exco berkenaan diistiharkan kosong. Kemuncak kepada turutan peristiwa ini berakhirlah Kerajaan PR Negeri Perak yang cuma bertahan selama 11 bulan.

Terkini gendang berikut dimainkan dengan perletakan Mohamad Fairus Khairuddin sebagai TKM1 dan pengosongan kerusi DUN Penanti. Riuh rendah mula kedengaran bila BN dikatakan tidak akan bertanding. Disebelah PR mengalu-alukan dan sementara dikalangan penyokong PR dan BN timbul pelbagai polemik yang dibahaskan.

Kelam kabut timbul. Dalam BN nak tentukan samada harus bertanding di Penanti atau tidak. Dari segi moral pun PR sudah menang sebab BN dah takut dengan kekuatannya. Dalam PR pun bergolak kerana TKM1 belum dilantik, barangkali nak menunggu calon dari Penanti.

Dalam pada penyokong PR dah jalan kembang dada dan penyokong BN jalan tunduk muka, awas petanda-petanda apa nak jadi berikutnya dah mula timbul:-

1. PAS Permatang Pauh buat ketetapan nak bertanding
2. DSAI dah minta maaf dengan LGE
3. Fairus dakwa dia bebas dari pendakwaan
4. SPR masih tak tetapkan tarikh PRK

Kita lihat siapa yang kena!

Tuesday, April 21, 2009

Jangan Zalimi Sekolah Agama Rakyat

Saya berasa sukar untuk bersetuju mahupun menerima kenyataan bahawa Sekolah Agama Rakyat (SAR) menerima tekanan yang hebat dari Kerajaan BN atau dalam kata yang lebih kasar menutup atau menghentikan operasi Sekolah Agama Rakyat. Sesungguh saya agak terkeliru dengan kenyataan ini. Meski pun ia telah lama berlalu, tapi saya masih lagi terbaca dakwaan ini di alam siber.

Hakikatnya, saya telah terlibat secara lansung dalam Jawatan Kuasa Pengurusan Sekolah Agama Rakyat, semenjak 1998 di tempat tinggal saya. Sepanjang pengetahuan saya, Sekolah Agama Rakyat di Selangor ditubuh dan dikawal dibawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam, Enakmen No.2 tahun 1988. Perkenan Diraja bertarikh 28 Jun 1988.

Dalam kes SAR yang saya terlibat ini, penubuhannya adalah atas inisiatif masyarakat setempat dan perniagaan teras kami ialah pengajaran dan pembelajaran fardu ain dengan berasaskan kururikulum Sekolah Rendah Agama (SRA) Negeri Selangor yang dikendalikan oleh JAIS. Pihak kami juga telah diberikan sijil pendaftaran dan adalah layak untuk beroperasi dari sudut perundangan.

Sumber kewangan operasi sekolah datangnya JAIS dan JAKIM, dalam bentuk pembiayaan elaun bulanan guru-guru. JAIS juga serta Kerajaan Negeri Selangor dan MAIS serta masjid kariah kami turut membantu didalam pembinaan dan selenggaraan baik pulih bangunan. Disamping itu derma wakaf dari organisasi perniagaan dan orang perseorangan, serta yuran dari murid-murid (RM6 sebulan – yang terendah didalam daerah) adalah menjadi punca dana untuk membolehkan sekolah untuk terus beroperasi.

Alhamdulillah, sekolah kami beruntung kerana mempunyai ahli kejiranan yang baik, umpamanya Northport Corporation Berhad, Kolej WIT (dibawah kendalian Dato’ Zainal Rampak, mantan Presiden MTUC), usahawan-usahawan kecil dan para dermawan yang begitu pemurah membantu kami.

Namun begitu, seperkara yang saya yakin ramai dikalangan tidak menyedari dan mengetahui bahawa Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran ada menyalurkan bantuan per kapita atas kiraan RM60.00 bagi setiap murid. Bagi kes SAR saya, geran tahunan ini bernilai sekitar RM20,000.00 (berasaskan bilangan murid). Daripada amaun tersebut, kami disyaratkan supaya mengaggihkan 75% kepada tenaga pengajar dan 25% lagi untuk menampung kos pentadbiran.

Isu pemberhentian bantuan per kapita ini timbul, seingatan saya pada tahun 2002. Pada tahun tersebut, semua SAR termasuklah sekolah kami tidak mendapat geran tahunan tersebut. Namun pada tahun berikutnya, kami tanpa sebarang kegagalan menerima bantuan tersebut dari Kementerian Pelajaran. Malahan pada tahun lepas, meskipun Kerajaan Negeri Selangor dibawah pentadbiran PR, kami tetap menerima agehan tersebut.

Pemberhentian agehan bantuan per kapita tersebut, meskipun tidak dijelaskan secara terbuka tetapi ada desas desus mengatakan berlaku dikalangan pihak pengurusan sekolah tidak melaksanakan syarat agehan 75:25 yang ditetapkan. Apa pun, ekoran pemberhentian bantuan tersebut, khabarnya guru-guru di sekolah-sekolah terbabit diberi pilihan untuk diserapkan dibawah perkhidmatan kerajaan.

Atas alasan-alasan tersebut di atas dan merujuk kepada kes yang saya sendiri alami, adalah mengelirukan malah amat sukar bagi saya untuk menzahirkan rasa setuju diatas dakwaan berlaku kezaliman seperti yang didakwa. Sebagai seorang yang berbahasa, dua kalung ucapan terima kasih saya ucapkanmasing-masing kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan (lama dan baru)Malah secara peribadi juga, saya lebih rela jika SAR yang saya terlibat ini dijadikan SRA oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sekurang-kurangnya dapat membendung fitnah dan tohmahan ke muka tebal kami Jawatan Kuasa Pengurusan Sekolah yang sering menadah tangan memohon sumbangan dari pihak-pihak yang tersebut di atas. Akan tetapi itu sekadar melepaskan beban kami , sebaliknya adakah kami di pihak Jawatan Kuasa Pengurusan berlaku adil kepada guru-guru yang saban tahun menikmati agehan dari Kerajaan?

Saya kurang pasti adanya kebenaran disebalik dakwaan tersebut? Mungkin tafsiran SAR mengikut negeri yang berbeza-beza? Atau pun sekolah agama swasta juga pernah mendapat keistemewaan ini, hingga mendapat pengiktirafan sebagai SAR? Respons dari pembaca-pembaca artikel ini amat saya alu-alukan bagi menjelaskan kekeliruan yang wujud dalam diri saya.