Friday, October 3, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Ramadhan yang lalu membuatkan saya dalam satu keadaan yang mempunyai waktu yang terhad. Hinggakan untuk mengemaskini blog, seolah-olah tidak punya waktu. Namun sekali-sekala, ada juga sekadar menjengah blog rakan-rakan supaya tidak ketinggalan informasi terkini.

Banyak juga peristiwa-peristiwa politik sensasi yang berlaku disamping ketidaktentuan ekonomi global. Apa pun, saya meletakkan diri sebagai insan biasa yang tidak mempunyai apa-apa kuasa membuat keputusan. Cukup sekadar dengar dan lihat. Ulas? Oh, begitu letih malah mungkin berbuih mulut kalau berminat untuk mengulas.

Hadirnya lebaran, lebih tertumpu mengelolakan hal-ehwal rumah seperti menyediakan persiapan hidangan, hiasan dan menyambut ahli keluarga yang bakal hadir berkumpul di rumah induk kami. Saban tahun semenjak perginya ayah menyahut panggilan ilahi pada 1999, adalah menjadi tugas dan tanggung jawab saya menjaga rumah induk keluarga kami. Meskipun sebagai anak yang bongsu dan mempunyai rumah sendiri, saya telah dipertanggungjawabkan menjaga ibu kami. Alhamdulillah, saya dibantu oleh seorang kakak yang menjaga ibu diwaktu saya dan isteri bekerja. Keadaan lebih mencabar apabila ibu menjadi OKU, bergerak menggunakan kerusi roda sejak 2005.

Sebenarnya sejak ibu menjadi OKU, saya tidak lagi berkunjung ke rumah saudara mara kerana menjaga rumah untuk menyambut tetamu yang datang untuk menziarahi ibu yang kebetulan yang tertua dalam ranting keluarga ketika ini. Mujurlah, isteri sangat memahami yang tidak pernah menyambut lebaran bersama keluarganya untuk sekian lama. Sebenarnya, ziarah yang saya, isteri dan anak-anak lakukan ialah hanya ke rumah bapa mertua dan nenek isteri. Itu pun, hanya selepas jam 5 petang hari raya pertama setiap tahun.

Kepada rakan-rakan bloggers, sempena tabir Ramadhan yang telah dilabuhkan dan kemenangan untuk kembali ke fitrah hakiki yang telah diraikan, ucapan Selamat Hari Raya berserta maaf zahir dan batin saya hulurkan untuk semua.

Thursday, September 11, 2008

Pembangunan Modal Insan Vs. Pembelaan Insan

Saya terserempak dengan sepupu saya di sebuah hypermarket dan oleh kerana suasana kerja beliau mengikut shift, soalan yang sering menjadi pembuka perbualan ialah “kerja bila?”. Saya terkejut dengan jawapannya bahawa beliau telah bekerja mengikut waktu bekerja biasa apabila jabatan beliau (di sebuah syarikat GLC, pengendali pelabuhan) telah di ‘outsource’, berkuatkuasa pada 1 September yang lalu.

Nampaknya telah menjadi trend apabila semakin bertambah banyak organisasi perniagaan termasuk GLC melaksanakan ‘outsourcing’ yang pada pandangan pihak pengurusan organisasi berkenaan akan meningkatkan kecekapan dan meminimumkan kos. Persoalannya, apakah pandangan ini berasas?

Saya merumuskan, andainya trend ini terus berleluasa maka akan wujud keadaan Pembangunan Modal Insan VS Pembelaan Insan. Hal ini, dinyatakan melalui hipotesis saya yang seperti berikut:-

1. Apakah memadai KPI pengurusan syarikat cukup dengan dinilai melalui keuntungan bersih syarikat tanpa disertakan dengan keadilan dan tanggungjawab sosial?
2. Tidakkah pihak pengurusan menyedari keuntungan yang dianugerah oleh Allah s.w.t adalah termasuk rezeki pihak lain dan harus dikongsi bersama?
3. Kerajaan mepertingkat dan mempromosi Pembangunan Modal Insan dan adakah memadai dengan menyedia asas kecekapan insan dan kemudiannya membiarkan insan terbabit berjuang sendiri mendapatkan kebajikan dan pembangunan jasmaninya?
4. Kerjaya yang diwujudkan harus diberi ruang untuk dikembangkan, dipupuk dan diberikan balasan yang setimpal supaya jurang pendapatan dapat dikecilkan.
5. ‘Outsourcing’ menyekat perkembangan kerjaya dan sumber manusia tidak akan dapat memaksimumkan pendapatan mereka, sebaliknya pihak penyedia perkhidmatan akan berusaha melakukan ‘recruitment’ berbanding menyimpan sumber manusia yang bergaji tinggi.
6. ‘Outsourcing’ juga lebih kepada usaha lepas tangan dan lari dari tanggungjawab sosial pihak majikan.
7. Menghakis gerakan Kesatuan Sekerja justeru mewujudkan keadaan yang berat sebelah antara majikan dengan pekerja.

Sebagai kesimpulan, apa yang berlaku hari ini merupakan usaha yang saling kontra antara kerajaan dan organisasi perniagaan, malah GLC sendiri. Jelas bahawa usaha Pembangunan Modal Insan tidak akan kemana kerana disatu pihak lagi jelas mengabaikan Pembelaan Insan. Akhirnya, ia akan menyumbangkan kepada ketidakseimbangan sosial dalam jangkamasa panjang. Kos boleh dikurangkan melalui pelbagai cara, malah boleh dihasilkan oleh ketelusan di pihak pengurusan. Akhir sekali, saya ingin mengingatkan kepada semua pihak, merangkumi Kerajaan, Pengurusan Organisasi dan Kesatuan Sekerja supaya memberi perhatian, melaksanakan kajian atau semakan dan lebih bertanggungjawab dalam kebajikan insan supaya kegawatan sosial tidak akan berlaku. Sesungguhnya, unsur kerohanian juga perlu ada dalam sistem pengurusan terkini.

Tuesday, September 2, 2008

Pendidikan: Matlamat, Misi dan Visi Peribadi (4)

J-QAF sebagai Alternatif KAFA dan SRA

Pernah suatu ketika di penghujung 2003, Dato’ Zainal Sakom telah mengendalikan sessi penerangan berkenaan Islam Hadhari di masjid kariah saya. Beliau meminta dikalangan hadirin mengangkat tangan, andainya ada diantara kami mengajar sendiri anak-anaknya sendiri berkenaan perkara-perkara asas fardhu ain. Tidak pasti samada dikalangan para hadirin berasa malu untuk mengangkat tangan atas faktor riak atau sebagainya, namun hakikatnya tidak seorang pun yang mengangkat tangan. Dengan jujur saya katakan bahawa tidak seorang pun dikalangan anak-anak yang saya ajar sendiri berkenaan perkara ini.

Melalui pengakuan dari para hadirin di atas, jelas bahawa keperluan Kelas Fardhu Ain (KAFA) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) adalah amat penting sebagai permulaan asas pendidikan fardhu ain. Secara peribadi, saya kerap mengucapkan terima kasih, samada di majlis rasmi atau tidak rasmi, kepada guru-guru KAFA yang mengajar anak-anak saya. Saya percaya , lebih 80% ibu bapa Islam menghantar anaknya ke KAFA atau SRA.

Malang sekali, adalah menjadi trend di setiap KAFA dan SRA akan mengalami penyusutan bilangan murid di tahun 6. Maklum balas yang diberikan berhubung pemberhentian pengajian dikalangan murid tahun 6 ialah untuk memberikan tumpuan kepada UPSR. Disamping itu, timbul rungutan dikalangan guru-guru bila timbul keadaan kadar ponteng yang agak tinggi serta kenakalan murid dan mereka beranggapan bahawa ibu bapa tidak serius. Sebaliknya ia seolah-olah mencerminkan penghantaran anak ke KAFA, tidak lebih sebagai pengisian waktu petang yang terluang.

Pada tahun 2006, saya dimaklum oleh rakan, seorang Guru Besar bahawa Kementerian Pelajaran memperkenal subjek baru dikenali sebagai J-QAF di semua sekolah rendah. J-QAF bermaksud gabungan Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain. Khabarnya, melalui pengenalan subjek ini, ibu-bapa tidak perlu lagi menghantar anak ke KAFA dan SRA. Walau pun demikian, saya perhatikan masih ramai lagi yang menghantar anak ke kelas tersebut.

Anak bongsu saya mula memasuki alam persekolahan pada awal 2008. Sebelum bermula sessi persekolahan, saya telah menghubungi beberapa kenalan dikalangan guru, guru besar malah penyelia di Pejabat Pendidikan Daerah untuk bertanya samada masih perlukah saya menghantar anak ke KAFA, walhal J-QAF telah wujud di sekolah rendah. Masing-masing seolah-olah teragak-agak untuk memberi kepastian. Sebalikya memberi pandangan agar menghantar juga ke KAFA seperti yang dilakukan sebelum ini.

Akhirnya, saya telah diperkenalkan oleh rakan kepada seorang guru J-QAF. Guru ini memberi tahu saya, sememangnya hasrat kerajaan untuk memperkasa Pengajian Agama Islam, Jawi dan Bahasa Arab. Seterusnya, secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada KAFA dan SAR kerana modulnya yang hampir serupa. Modul ini menghendakki murid-murid hadir ke Kem Amali Solat, pada hari Sabtu setiap 3 bulan (kalau saya tidak silap). Walau bagai mana pun, beliau menasihat agar tetap menghantar anak mengaji Al-Quran kerana beliau berpandangan bahawa tahap kecerdasan murid-murid tidak setara akan menyukarkan proses pembelajaran. Dengan maklumat tersebut, saya membuat keputusan tidak menghantar anak ke KAFA seperti kelazimannya. Setakat hari ini, tiada sebarang rumusan dapat dibuat kerana masih terlalu awal untuk berbuat demikian dan tidak pasti samada keputusan saya telah membuat keputusan tepat (?).

Friday, August 29, 2008

Ketegasan Pendirian

Malam tadi saya dijemput ke Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat untuk pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STPM di sekolah anak saya. Pada tahun ini, anak-anak saya tidak seorang pun terlibat dalam peperiksaan. Jemputan yang saya terima adalah diatas kapasiti sebagai AJK PIBG sekolah berkenaan. Didorong oleh rasa tanggung jawab dan sebagai sokongan kepada pelajar-pelajar berkenaan saya penuhi undangan tersebut.

Kebetulan, saya juga adalah bekas pelajar di sekolah tersebut dan apabila bersama dengan pelajar-pelajar berkenaan membangkitkan rasa nostalgia bila bersama dengan mereka. Apatah lagi beberapa orang dikalangan guru dan ibu bapa merupakan teman-teman seangkatan semasa belajar di sana.

Beberapa perubahan berlaku di sekolah ini berbanding dengan zaman saya. Kini, bukan sahaja sekolah tersebut malah di kebanyakan sekolah di seluruh negara, unsur-unsur kerohanian melalui majlis seperti tersebut telah menjadi satu tradisi. Dulu, terpulang kepada masing-masing, malah rasanya kebanyakan pelajar tidak diterapkan dengan unsur berkenaan.

Disamping itu, komposisi pelajar juga telah jelas berubah mengikut perubahan dasar Kementerian Pelajaran. Dengan dua sistem medium ketika itu, sekolah tersebut adalah sekolah aliran Melayu maka majoriti pelajarnya adalah berbangsa Melayu. Apabila sistem pelajaran dengan medium tunggal dan kedudukan sekolah tersebut terletak di dalam bandar, mendorong kepada perubahan komposisi pelajar dan pelajar Melayu tidak lagi menjadi majoriti.

Oleh yang demikian, selera dan kemahuan ibu bapa tidak lagi bersifat budaya yang tunggal. Misalnya, di Mesyuarat Agung PIBG yang telah diadakan seminggu sebelum PRU2008 yang lalu, seorang bapa telah mengusulkan supaya di tubuhkan Persatuan Persaudaraan Kristian. Meskipun usul tersebut telah dibahaskan secara pro dan kontra, gesaan tersebut telah ditolak oleh Pengetua atas alasan bahawa pengajian Kristian sebagai salah satu subjek yang ditawarkan di sekolah berkenaan. Malangnya, seorang bapa (berbangsa Melayu} yang memperkenalkan diri sebagai pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri berpandangan bahawa tidak ada sebarang peraturan khusus berkenaan perkara tersebut.

Justeru, ini membuka ruang kepada pembawa usul berkenaan untuk merayu ke Jabatan Pelajaran Negeri. Selepas PRU, beliau telah mengumpulkan tandatangan pelajar beragama Kristian dan menghantar surat rayuan kepada Jabatan Pelajaran Negeri. Hal ini kemudiannya telah dibahaskan sekali lagi di peringkat Jawatan Kuasa PIBG yang dianggotai oleh komposisi 50-50 antara Islam dan bukan Islam. Apa yang menarik perhatian saya ialah ketegasan Pengetua yang merumuskan “sebagai ketua eksekutif sekolah ini dan mengambil kira pandangan dan sensitiviti semua pihak, saya menolak cadangan Persatuan Persaudaran Kristian di sekolah in”.

Saya secara peribadi begitu lega diatas ketegasan tersebut, apatahlah lagi ia dibuat dalam persekitaran masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama. Tanpa disedari, suasana ini dalah cermin kehidupan nyata dalam sosio-politik di Malaysia iaitu pemimpin harus bertegas demi menjaga sensitiviti dan kedudukan Islam di negara ini. Andainya, Pengetua terlalu berlembut dan mengambil pendekatan mengambil hati maka ia akan menjurus kepada tamparan kepada mereka yang berikut:-

1. Bekas guru yang pernah menjaga portfolio agama sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum PRU1999.
2. Bekas pelajar yang menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio agama pada hari ini.
3. Bekas pelajar yang pernah menjaga portfolio agama dalam EXCO Kerajaan Negeri (sebelum pertukaran Kerajaan).
4. Bekas pelajar yang sekarang ini menjaga portfolio agama EXCO Kerajaan Negeri (setelah pertukaran kerajaan).
5. Bekas pelajar yang sekarang ini menjawat sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri.

Monday, August 25, 2008

Pendidikan: Matlamat, Misi dan Visi Peribadi (3)

Perlukah Tuisyen Dalam Mengejar Kecemerlangan Akademik?

Saya amat bersetuju dengan kenyataan bahawa tiada suatu kaedah yang terbaik dalam proses pembelajaran yang berkesan. Sebaliknya, penggunaan kaedah yang pelbagai merupakan satu cara ke arah kecemerlangan akademik.

Pendapat awal saya menyatakan bahawa tuisyen adalah tidak penting dan hakikatnya memadai dengan proses pembelajaran yang diberikan oleh guru-guru di sekolah. Oleh kerana guru adalah seorang profesional, saya menaruh keyakinan dan percaya dengan kebolehan, latihan dan pengalaman yang mereka miliki. Tambahan pula terdapat pula guru yang begitu dedikasi serta ikhlas mengajar murid/pelajarnya. Justeru, tidak hairan bagi guru yang komited dengan kerjayanya, menawarkan kelas tambahan percuma kepada murid/pelajarnya. Namun, di sekolah dalam bandar adalah lumrah kelas tambahan tidak mendapat sambutan, atas alasan murid/pelajarnya menghadiri kelas di Pusat Tuisyen.

Seperkara yang menjadi penekanan kepada anak-anak ialah tentang kepentingan kelas pertama dan penumpuan di dalam kelas. Maksudnya, kelas pertama untuk bab 1 setiap subjek jangan sesekali terlepas. Ini disebabkan, dikala itulah guru akan menerangkan konsep, modul dan juga kerja kursus serta peperiksaan tersebut. Dalam sistem pendidikan hari ini, bukan sahaja pelajar sekolah menengah, malah murid sekolah rendah pun dikehendaki menyiapkan kerja kursus (folio) disamping ujian bulanan dan peperiksaan. Setiap patah perkataan guru di dalam kelas amat penting. Justeru, saya berasa amat rugi jika anak saya terlepas mengikuti kelas ekoran dari kegiatan ko-kurikulum, contohnya mewakili sekolah dalam sukan. Saya membuat ketegasan kepada anak saya supaya memilih satu jenis sukan sahaja, sebagai memenuhi keperluan khidmat bakti kepada sekolah.

Melalui pemerhatian terhadap kelima-lima orang anak, saya mendapati terdapat perbezaan karekteristik terhadap proses pembelajaran anak-anak. Ada yang cepat menangkap dan ada juga yang bersifat sederhana. Oleh yang demikian, saya tidak seharusnya bergantung kepada pendapat awal yang mengatakan kelas tuisyen tidak perlu. Memandang pada diri sendiri dan orang lain, seandainya kita tidak mempunyai ruang waktu untuk membimbing sendiri, maka keadaan inilah yang memerlukan kelas tuisyen sebagai alat untuk meningkatkan tahap kecemerlangan akademik anak-anak. Dari sini juga, keadaan menuntut kita menggunakan pelbagai kaedah pembelajaran agar mereka yang agak kurang cerdas ini dapat dibimbing supaya tidak ketinggalan di dalam kelas. Takkan sama sekali kita berpandangan negatif kepada kelas tuisyen, seolah-olah setiap 2 jam kelas yang dihadiri tidak mendatang sebarang manfaat langsung.


Meski pun terdapat dua pandangan peribadi terhadap keperluan kelas tuisyen, saya tegas berpendirian, proses pembelajaran di sekolah adalah amat penting dan memerlukan perhatian ibu bapa dan kanak-kanak. Betapa tidaknya, guru-guru di sekolah adalah merupakan guru-guru terlatih, malah perlu diingat bahawa majoriti pusat tuisyen hakikatnya menggunakan khidmat guru-guru sekolah aliran perdana!

Saturday, August 23, 2008

Menjelang Ulangtahun Kemerdekaan ke 51

Duduk membilang hari, rupa-rupanya sambutan Hari Kemerdekan Malaysia ke 51 akan tiba seminggu lagi. Kesibukan menjadikan saya terlupa, walau pun sememangnya telah berada di bulan Ogos. Kelaziman sebelumnya, kemeriahan Ogos begitu terasa apabila berselesih dengan kereta persendirian, teksi, bas dan lori memasang bendera di pasang di kenderaan masing-masing. Akan tetapi sukar untuk melihat kibaran bendera ketika ini.

Tidak adakah pelancaran kempen mengibar bendera oleh pihak kerajaan pada tahun ini? Atau saya sendiri yang ketinggalan mengikuti perkembangan semasa? Saya rasa tak mungkin, apabila melihatkan orang lain juga tidak ghairah mengibar bendera. Cuma yang ada terbaca ialah kempen menebalikkan bendera dikalangan bloger.

Petanda apakah semua ini? Lunturnya semangat patrotisme? Protes? Kempen kerajaan yang tak berkesan? Muslihat? Selalunya, bulan kemerdekaan bermula awal Ogos hingga pertengahan September. Barangkali kerajaan ingin melihat Jalur Gemilang terkibar sendiri di seluruh negara selepas 16hb September!

Thursday, August 21, 2008

Pendidikan: Matlamat, Misi dan Visi Peribadi (2)

Sistem Pendidikan Kita Berorientasikan Peperiksaan?

Banyak pihak menyimpulkan bahawa Sistem Pendidikan kita adalah berorientasikan peperiksaan. Sebagai bapa dan seorang yang bukan ahli akademik, saya tidak pasti bahawa saya adalah sebahagian daripada mereka yang terlalu menekan anak-anak supaya menghasilkan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Secara prinsipnya, saya berpendirian bahawa perlu malahan menjadi tanggung jawab saya memudahkan kerja guru. Oleh sebab itulah, saya memastikan anak-anak saya boleh membaca dan mengira sebelum bermulanya alam persekolahan rendah mereka. Ini didorong oleh keadaan kapasiti kelas, khususnya di kawasan bandar purata saiz kelas ialah 40 orang murid. Dengan keadaan demikian, mampukah guru memberi perhatian kepada anak saya? Secara perbandingan, di tadika muridnya cuma di sekitar 20 orang bagi satu kelas. Oleh kerana saya menganggap peringkat tadika amat penting sebagai pembuka langkah alam pembelajaran, maka saya rela membayar yuran tadika yang hakikatnya lebih mahal dari yuran pengajian di UiTM!

Dalam keadaan anak-anak yang telah berupaya membaca dan mengira, proses pembelajaran mereka akan mengikut ‘pacing’ pengajaran guru mereka. Saya meletakkan tanda aras 70% dan ini bermakna anak-anak harus mendapat keputusan peperiksaan mengikut tanda aras yang diberikan. Apabila keputusan peperiksaan semester 1 diperolehi, memberi ruang kepada saya untuk membuat tindakan yang berikut:-

· Mengesan kelemahan anak-anak;
· Memberi bimbingan peribadi terhadap subjek tersebut supaya mencapai penanda aras; dan
· Memberi fokus keputusan yang seimbang terhadap semua subjek untuk peperiksaan yang berikutnya.

Melalui penanda aras ini juga bermakna sekiranya mereka mendapat 80%, iaitu peratusan yang membolehkan mendapat gred A, itulah adalah bonus bagi mereka. Saya selalu memberi tahu anak-anak “Mendapat A dalam semua subjek bukanlah matlamat tetapi sekiranya kita boleh kearah itu, mengapa kita tidak mencubanya? Ramai orang yang telah mendapat ‘straight As’, tidak ada apa yang perlu dimegahkan. Sekurang-kurangnya ia adalah untuk kepuasan peribadi dan menempatkan kita kekelompok tersebut”. Sebagai ransangan saya berulangkali menyatakan ungkapan berikut kepada anak-anak:-

UPSR – Kamu dengan mudah boleh mendapat A dalam Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan dan Matematik. Bekerja keraslah untuk mendapat A dalam Bahasa Inggeris dan Sains.
PMR – 6A dalam tangan (Bahasa Malaysia, Agama Islam, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup dan Matematik), kenapa tak ingin mencuba mendapat 2A lagi (Bahasa Inggeris dan Sains).
SPM – 4A boleh dicapai (Bahasa Malaysia, Agama Islam, Sejarah dan Matematik), tambahkan lagi jumlah A melalui subjek teras jurusan kamu.

Samada bersetuju atau tidak atau samada suka atau tidak, keputusan yang cemerlang adalah diambil kira untuk memasuki IPTA. Cukupkah dengan tabungan yang hanya RM20,000 (melalui skim annuiti insurans) untuk menampung kos belajar di IPTS? Relakah kita melihat anak-anak menanggung beban pinjaman PTPN? Juga, sedarkah kita sesetengah organisasi mensyaratkan minimum ijazah sarjana muda kelas 2-Atas untuk bekerja dengan mereka? Secara peribadi, saya tidak mempunyai pilihan melainkan bertindak seperti ibu bapa lain, mahu melihat anaknya cemerlang dalam peperiksaan, walau pun ini dianggap songsang oleh sebilangan ahli akademik!