Tuesday, August 12, 2008

Perlukah Konsesus Pasca Merdeka?

Saya belum pernah memberikan maklum balas yang serius berhubung dengan keadaan politik negara pada hari ini. Sebaliknya, saya cuma menelan hujah-hujah, samada pro mahu pun kontra. Bila sendirian, otak mula berfikir dan mengimbas satu demi satu peristiwa sebelum dan selepas pilihan raya umum 12 yang baru lalu. Akhirnya, saya menyimpulkan bahawa wujud keberantakan politik di dalam negara. Keberantakan ini bukan saling kontra antara individu tetapi melangkaui batas sempadan agama, budaya, bangsa dan organisasi politik.

Dicelah-celah keberantakan politik ini, saya terlihat bahawa generasi pasca-merdeka menuntut satu konsesus yang baru. Pra-merdeka telah memahat ugutan dari kolonial British bahawa Tanah Melayu akan menjadi huru hara, andainya tuntutan merdeka oleh rakyat pribumi dipenuhi. Justeru, pemimpin-pemimpin pra-merdeka telah mengambil pendekatan diplomasi dengan bersetuju dengan cadangan memberi kewarganegaraan kepada pekerja-pekerja asing disektor perlombongan dan perladangan. Persetujuan ini diterima oleh majoriti rakyat pribumi, namun terdapat juga penentangan terhadap keputusan terebut. Malahan ada yang beranggapan bahawa ini membuktikan kelemahan pemimpin ketika itu, kerana tunduk kepada tekanan kolonial British. Mujurlah perkara-perkara yang berkaitan Islam, Raja, tanah simpan Melayu dan tanah adat, Bahasa Melayu dan keistimewaan kuota masing-masing terpelihara dibawah Artikel-Artikel 3, 32, 89, 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan

Hari ini rata-rata anak-anak pasca-merdeka telah menjadi dewasa. Mereka adalah generasi yang boleh dikatakan sebagai, celik sahaja mata telah menjadi warga negara Malaysia. Jadi tidak hairanlah mereka menuntut kepada keperluan konsesus yang baru. Namun begitu, barangkali apakah respons terhadap persoalan yang ingin saya ajukan seperti berikut:-

1. Mampu dan relakah pribumi melepaskan keistimewaan yan mereka miliki?
2. Sanggupkah bangsa Cina dan India menghapuskan kewujudan SJK (C) dan SJK (T) demi
perpaduan nasional?

Sejujurnya, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak rela keberantakan politik yang berlaku pada hari ini memberi ruang kepada provakasi terhadap agama dan bangsa saya. Akhirnya, dek kerana budaya Melayu yang terlalu mengambil hati, kesilapan pusingan kedua akan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu untuk konsesus baru era milineum ini! Semoga ada rahmat yang tersembunyi dari apa yang telah terjadi, insyaAllah.

Monday, August 11, 2008

Catatan Peribadi, Sebelum Terlupa (2)

1992 Proton Iswara menggantikan Proton Saga. Bank Negara telah kerugian akibat ekoran penglibatan BNM dalam transaksi matawang asing. Nor Mohamed Yackop, eksekutif kanan di BNM telah meletakkan jawatan atas dasar bertanggungjawab berhubung dengan kerugian tersebut.

1993-1995 kedudukan Pak Ghafar sebagai TPM tergugat. Team wawasan muncul dan memenangi pemilihan UMNO dengan membariskan Anwar sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Naib Presiden terdiri dari Muhyiddin, Najib dan Mohammad Taib serta kehadiran Rahim Tamby Chik sebagai Ketua Pemuda. Anwar dilihat sebagai bakal PM untuk tempoh ini, namun Rahim “bercuti” sebagai Ketua Pemuda kerana isu peribadi. Tempoh ini juga dari menyaksikan keadaan ekonomi yang begitu baik. Orang Melayu dah mula lepak kat broker saham (dah mula pandai main saham). Bak kata Daim Zainuddin, untuk duit poket dihujung minggu. Saham baru disenaraikan pun, paling bangsat pun RM2 boleh untung untuk setiap unit.

1996-1998 Anwar kekal untuk penggal ke2 sebagai Timbalan Presiden. Naib Presiden kekal dijawatan masing-masing, kecuali Muhyidin tergucil dan menyaksikan kemunculan Pak Lah sebagai pelengkap barisan. Zahid Hamidi unggul dalam pertembungan sengit kerusi Ketua Pemuda yang turut disertai Isa Samad, Annuar Musa dan Rahim sebagai penyandang jawatan. Petanda-petanda kegawatan ekonomi bermula pada pertengahan 1997. Jerebu dan krisis bekalan air melanda negara. Malaysia mencatat sejarah menjadi tuan rumah Sukan Komawel 1998.

1999 tahun terakhir menjelang alaf baru. Istilah IT, “Y2K bug” bermain dibibir setiap peringkat rakyat jelata. Tahun ini juga istilah politik yang popular ialah “kronisme”, “kolusi”, “nepotisme” dan “reformasi”. Istilah ini bukan sahaja popular di Malaysia, tetapi turut meluas digunakan di Indonesia. Ada grand design ke? Kawan-kawan pun ramai yang telah berhijrah politik.

ERA ALAF BARU rasanya tak perlulah nak diceritakan kerana rata-rata telah pun melalui setiap peristiwa yang berlaku. Sesungguhnya susah-senang, jatuh-bangkit, pahit-manis adalah pengalaman yang bakal menjadikan pengajaran bagi kita sebagai seorang dewasa.

Thursday, August 7, 2008

Catatan Peribadi, Sebelum Terlupa (1)

1974 terlalu mentah untuk mengerti, bila nampak ribuan pelajar universiti dan mereka yang bersimpati, berpiket di tepi bukit Kg Kerinci dekat dengan Angkasapuri, dalam kata lain di tepi Lebuhraya Persekutuan, lebuhraya pertama di dalam negeri. Dengar cerita ada yang kebuluran di Baling.

1975 mula dikenalkan dengan KPIM, ABIM bila guru sementara yang sedang menunggu keputusan STP, mendapat pendidikan dari sekolah persendirian Yayasan Anda, mengajar Bahasa Malaysia. Terpengaruh juga bila dengar ceritanya. Usia dibelasan tahun minat sangat dengan majallah Bambino, maka selalu pergi kedai buku dan curi-curi baca Mimbar Sosialis, lidah rasmi Parti Sosialis Rakyat Malaya (PRSM). PRSM pada masa tu tak iktiraf Malaysia.

1976 mula faham politik sikit-sikit. Dato’ Harun mendapat sokongan golongan muda yang menjadi “pressure group”. Pernah juga ikut serta dalam rally yang kebetulan di tempatku dan curi dengar dari otai-otai bahawa Dato’ Harun disuruh letak jawatan MB Selangor. Malah dia orang kata Dato’ Harun nak kena “buang negeri” jadi Wakil Tetap di PBB, New York. Tun Razak meninggal dunia di London, Tun Hussein ganti dan Dato’ Harun dipecat dari UMNO. Pada tahun itu juga semacam ada pertembungan puak sosialis dengan nasionalis. Kuatkuasa ISA pada masa itu, samada di Malaysia mahu pun Singapura akan dikaitkan dengan komunis.

1977-1980 tak banyak ingat peristiwa politik masa itu. Macamana nak ingat, tengah kemaruk zaman remaja dan sibuk dengan SPM dan STP. Apa tidaknya, masa tu bermulanya era disko. Filem-filem seperti Saturday Night Fever & Grease, ditonton lebih dari sekali. Cuma pada tempoh itu US berundur dari Vietnam dan politik lokal dalam tempoh tersebut, PAS disingkir dari BN dan Kelantan jatuh ke tangan BN melalui kerjasama UMNO dan Berjasa. Ibrahim Ali terlibat mastermind demontrasi di Kelantan dan akhirnya negeri tersebut diisytiharkan darurat, seterusnya membawa pembubaran DUN Kelantan bagi membolehkan pilihanraya Negeri Kelantan.

1981 tunggu keputusan STP, jadi guru ganti mengajar Sejarah dan Bahasa Malaysia tingkatan 3-5 di sebuah sekolah misionari (sekarang semua dah jadi SMK). Kali ni dah pandai menyampuk guru-guru senior yang borak pasal politik. Masa tu tengah hangat peralihan kuasa Tun Hussein – Tun Dr Mahathir. Tun Musa berentap dengan Ku Li untuk jawatan nombor dua parti. Nak beritahu, ini tahun penting untuk bangsa Melayu yang suka simpan duit bawah tilam, Amanah Saham Nasional telah dilancarkan. Duit-duit bawah tilam, dalam tempayan, celah tiang semua dikumpulkan untuk beli syarikat-syarikat utama dalam dan luar negeri.

1982-1984 masuk IPT dan pecah berita di kampus, Anwar Ibrahim masuk UMNO dan jadi calun di Permatang Pauh. Politik negara dan kampus condong kepada Islam. PAS begitu agresif dengan generasi mudanya seperti Haji Hadi, Ustaz Fadzil Nor dan juga Ustaz Nakhaie yang dah masuk UMNO. Al-Arqam melalui Abuya juga ada masuk ke kampus. Beliau datang dengan Mercs hijau yang rasanya mahal juga harganya! Ekonomi mula meleset pada tempoh ini. Bila masuk dewan makan, makanan dah tak semewah dulu.

1985-1991 bermula alam pekerjaan dengan institusi kewangan. Proton mula memasuki pasaran. Ekonomi masih meleset. Retrenchment khususnya di sektor pembuatan begitu banyak berlaku. UMNO bergolak, Semangat 46 muncul dan tokoh korporat memimpin MCA. Macam-macam hal timbul yang antara lain isu kejatuhan koperasi-koperasi pengambil deposit, skandal Pan El, BMF, Maminco dan macam-macam lagi, termasuk isu kehakiman. Tapi politik dan ekonomi dah mula stabil, dipenghujung tempoh ini, malah gila. Contohnya, harga kereta kalau dibeli pada harga RM18,000 pada tahun 1985 boleh dijual pada harga yang sama pada tahun 1991. Tak pernah dalam sejarah kereta tidak ada depreciation value.

AKAN BERSAMBUNG………..

Saturday, August 2, 2008

Apa Sudah Jadi?

Pagi ni aku tak dapat access ke blog Rocky Bru, Dunia Tiger dan Mat Saman Kati. Apa sudah jadi? Operation aborted?

Sekarang ni dah diisytiharkan zaman darurat ke?

Thursday, July 31, 2008

Jutawan Segera

Saya telah menerima e-mail yang berbunyi seperti berikut:-

[The Camelot Group,operators of The National Lottery.
3b Olympic Way, Sefton Business Park,
Aintree, Liverpool , L30 1RD

WINNING NOTIFICATION

The United Kingdom National Lottery wishes to inform you that the results of the E-mail address ballot lottery international program by Great Britain held on the of 19th July 2008,Your mail account have been picked as a winner of a lump sum pay out of £ 1,230,310 ( One Million Two Hundred and Thirty Thousand Three Hundred and Ten Pounds Sterling ) in cash credited to file REF NO.REF:UKL/74-A0802742008. This is from total prize money of GBP £8,612,170 shared among the ( 7 ) international winners in this category.All participants for the online version were selected randomly from World Wide Web through computer balloting system drawn from over 100,000 names database, union associations and corporate bodies that are listed online. This promotion is this year's United Kingdom National Lottery Weekly bonus. To file for your claim, please contact our fudiciary agent below for validation. ********************************************************************************** Mr David Green. Email:davidgreendesk@hotmail.co.uk Tel: +447024063886]

Baik sungguh sipenghantar e-mail, secara kebetulan dua minggu lepas anak sulungku telah meminta wang sebanyak 55 pound sebagai bayaran keahlian sebuah badan profesional. Secara relatifnya, berapa sangat nilainya 55 pound berbanding dengan 1.2 juta pound yang akan ku perolehi?

Gila sungguh gila. Sekelip mata sudah ada wang yang kalau ditukar kepada matawang tempatan lebih kurang sebanyak RM7.8 juta. Inilah jutawan segera namanya!

Apa pun, boleh percaya ke ni?

Friday, July 25, 2008

Proton Oh Proton

Kereta pertamaku Ford Escort yang nampak sporty dan sesuailah sebagai orang bujang yang ingin melaram. Ford Escort, meskipun secondhand tapi dapatlah berlindung dari hujan. Sebelum tu, bergaya dengan motosikal Honda VT250, tapi dek kerana pedih mata berulang dari Klang ke Petaling Jaya setiap hari maka terpaksalah dijual untuk beli kereta cabuk tu.

Bila sudah berkeluarga, tak sesuai rasanya pakai kereta kegilaan orang muda. Anak pun dah ada carilah kereta yang sesuai, lalu trade in Ford Escort, sambar pula Mitsubishi Tredia. Proton dah keluar masa tu, tapi interest rate tinggi sebab EON yang kawal. Saya tahulah sebab dulu kerja di sebuah institusi kewangan, bahagian hire purchase pula tu. EON dulu semua kawal, umpamanya accessories wajib, pinjaman kena ambil dengan panelnya sahaja disamping rate yang dia orang tetapkan iaitu 7.1%, kalau saya tak silap. Saya yang di pihak institusi kewangan ini pun tak ada kuasa sebab kes EON pada masa itu automatic approval, bermakna kami tak boleh tolak. Namun sesuailah pada zaman tu, sebab ekonomi baru nak pulih dari kemelesetan, kalau pinjaman tak berkembang, macam mana institusi kewangan nak dapat income. Tambahan pula pada era itu juga bermulanya retrenchment dikalangangan bank dan institusi kewangan. Kalau tak silap saya dimulakan oleh Bank of America.

Bila Proton Iswara mula dikeluarkan pada tahun 1992, teringin juga untuk mencuba kereta nasional. Tapi terpaksa ditangguhkan lantaran menunggu lama, kerana permintaaan yang begitu menggalakkan. Bukan rahsia lagi pada masa itu, ada pengedar (bukan pengedar sah EON) yang ambil kesempatan jual Proton Iswara yang siap didaftarkan pada harga yang melebihi harga pasaran. Oleh kerana zaman mewah pada masa itu, orang sanggup beli sebab lebih cepat berbanding order dengan EON. Akhirnya dapat juga saya pakai Proton Iswara pada 1993.

Pada tahun tersebut juga, saya telah berhenti dan memulakan perniagaan sendiri. Perniagaan semakin maju dan isteri mula dok bedek kereta baru. Dia kata “Bang, kalau nak tukar kereta elok tukar sekarang. Nanti anak semua dah sekolah, apatah lagi masuk sekolah menengah, susah kita nanti.”. Bapa mertua jadi batu api, “Alang-alang baik ambil Mercedes”. Oh, tidak sama sekali termakan hasutan. Bila bekerja sendiri, saya fikir macam-macam boleh jadi. Setelah fikir panjang, akhirnya saya beli Proton Wira dan Daihatsu Charade (untuk isteri) sekaligus. Malangnya, lepas 2 bulan kegawatan ekonomi 1997 mula melanda. Harga kereta menjunam. Rahmat dari kejatuhan itu, EON dan USPD (sekarang Proton Edar), mula bagi pilihan terhadap accessoriesnya. Saya ? Pastinya rugi teruk. Sementara bagi diri saya, sekurang-kurangnya saya dapat kekang nafsu dari beli kereta mewah. Kalu beli tempoh hari, pasti repossesor datang cari di rumah.

Bila enjin Campro diperkenalkan, saya mengambil sikap tunggu dan lihat. Pernah juga terdengar khabar-khabar angin, “Lu tau tak, itu campro punya engine serupa bukit dia punya tinggi dekat Tanjung Malim”. Maksudnya, enjin banyak tersadai kerana model-model Proton semakin kurang permintaannya.

Isteri telah dinaikkan pangkat Pengurus Cawangan sebuah bank. Takkan nak pakai Kancil (setelah trade in Daihatsu Charade). Dia dah mula bedek kereta baru dan berazam nak pakai imported car. Saya bagi tau dia, “ Ada orang kata enjin Campro membukit di Tanjung Malim plant. Rasanya, elok kita sokong Proton, kita ambil Waja Campro”. Akhirnya dia setuju, atas dasar nak sokong orang-orang kita. Malang sekali lagi bila Kak Rafidah Aziz Menteri jaga MITI, perkenalkan Dasar Automotif Negara dan umum pengurangan duti untuk kereta. Rugi lagi!

Saya ni asyik menyokong dan terus menyokong. Sekarang ni dah tak mampu lagi nak menyokong, kecuali kerajaan yang ada benar-benar mahu membantu industri automotif tempatan. Kini Proton kena bedal kiri dan kanan. Lihat sahajalah nasib yang menimpa model Perdana V6 apabila 2 buah Kerajaan Negeri hilang kepercayaan terhadap kualitinya. Kerajaan Negeri Terengganu telah pun menempah Mercedes Benz untuk kegunaan Ahli-Ahli Exco, manakala Kerajaan Negeri Selangor, melalui Ahli Exco Kerajaan Negerinya YB Ronnie Liew telah mencadangkan penggunaan Toyota Camry.

Entahlah, apa agaknya nasibmu PROTON!

Wednesday, July 23, 2008

Di Sebalik Tirai Persidangan Tahunan UMNO Cawangan

Mulai minggu lepas, kalau muka tak malu boleh makan free setiap hujung minggu. Ini bukan kenduri kahwin, tapi jamuan di mesyuarat agung UMNO cawangan-cawangan yang meliputi minum pagi jam 10, jamuan teh jam 4.30 dan makan malam jam 9.30 . Hujung minggu ini akan masuk minggu kedua. Kalau berminat , rajin-rajinlah jenguk Pejabat UMNO Bahagian, tengok jadual mingguan persidangan UMNO.

Sebenarnya bukan makan free yang menjadi keutamaan tetapi silaturrahim yang lebih penting. Bagi saya yang hanya akar umbi diperingkat cawangan memadai sekadar untuk ‘dengar-dengar’ dan ‘campur-campur’ perkembangan politik setempat. Rasanya tak perlu dengar cerita politik nasional kerana kita umpama ‘katak di bawah tempurung’. Malahan kalau hendak menjadi jaguh pun, cukuplah sebagai ‘jaguh kampung’!

Meskipun telah kehilangan kerusi parlimen, 3 kerusi DUN dan juga kehilangan tampuk pemerintahan negeri, UMNO setempat tetap meriah. Di bahagian sendiri pun khabarnya ada 3 calun yang sedang giat mencari pencalunan Ketua Bahagian, 2 calun Ketua Wanita, 2 calon Ketua Pemuda dan 2 calun Ketua Puteri. Tidakkah ini menggambarkan bahawa UMNO tetap segar dan tetap diterima oleh masyarakat dan mendorong mereka menggunakan wadah UMNO untuk berkhidmat?

Rasanya tidak salah untuk saya menyatakan bahawa politik UMNO tetap menarik perhatian. Malahan ketika duduk bersembang di sebuah gerai, anggota polis pun bercerita tentang siapa-siapa yang ‘race’ untuk jawatan-jawatan utama UMNO Bahagian. Oh, betapa hebatnya UMNO walau pun hilang segalanya di kawasan parlimen dan negeri, orang luar pun tetap mengikuti perkembangan!

Berkaitan isu pula, pastinya yang paling utama ialah peribadi. Macam-macam terkeluar dari ‘private life’, sikap/tabiat dan juga ada yang tunggu di pagar masjid, demi memastikan calun-calun rajin ke masjid atau tidak. Segala teropong, kamera dan telefon bimbit digunakan untuk merakamkan segala perjalanan aktiviti dan percakapan para calun. Silap-silap gaya dinding, tiang dan kemungkinan juga pekerja asing di restoran atau gerai pun adalah ‘informer’ calun yang bertanding. Manifesto pula, sudah tentu berkaitan dengan perpaduan, peralihan kepimpinan, kesinambungan perjuangan dan lebih penting ‘aku boleh tolong kamu semua’.

Meriah dan terus meriah. Barangkali inilah yang mendorong kepada pengisian Rejab, Syaaban, Ramadhan dan Syawal tahun ini. Moga-moga Allah akan memberikan keberkatan kepada kita semua .

Namun disebalik keseronokan jangan sampai alpa kepada realiti bahawa perjuangan sudah samapi ke penghujung jalan.Diri menang, parti kecundang. Perkara-perkara pokok seperti pemulihan keyakinan rakyat terhadap UMNO jangan dikesampingkan. Begitu juga dalam isu-isu penguncupan ekonomi, anasir-anasir yang menggugat agama dan bangsa haruslah diberikan perhatian. Jangan sibuk mendedah hingga terlupa menutupi keaiban kawan dan lawan. Akhir kata, kalau tidak bersedia untuk BERSATU, BERSETIA dan BERKHIDMAT, jangan tawarkan diri anda untuk bertanding. Sesungguhnya, PRU12 haruslah dijadikan iktibar dan ingatlah jangan gunakan demokrasi untuk menghalalkan segala-galanya.